Sebaran maklumat akhirnya jadi ‘penyebar fitnah’

- Advertisement -

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

SAYA mengamati tulisan terbaharu Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Apabila Media Menjadi Hakim’, malah ini tulisan yang konsisten naratifnya dalam pandangan beliau mengenai isu-isu pendakwaan ke atas individu sama ada pemimpin atau siapa sahaja.

Walaupun berdepan putarbelit media yang sengaja mengambil secara separuh-separuh maklumat dan intipati tulisan, Tuan Guru Abdul Hadi tetap komited dan konsisten dengan kenyataan seseorang itu tidak bersalah selagi dia tidak didapati bersalah dalam pengadilan di mahkamah, malah mereka tidak boleh diaibkan mahupun dihakimi sama ada oleh kita mahupun media yang melaporkannya sebelum dibicarakan seadilnya.

- Advertisement -

Antara petikan menarik dalam artikel terkini beliau bertarih 9 Januari, “Mutakhir ini kita menyaksikan bagaimana peranan media dalam menyebarkan berita salah laku seseorang, sebelum ia dibawa kepada penentuan badan kehakiman.

Pendekatan yang dilakukan itu berkonsepkan kebebasan media yang diamalkan oleh dunia Barat yang mendukung konsep demokrasi, bahawa suara rakyat adalah suara Tuhan,’ – di perenggan pertama tulisan Tuan Guru Abdul Hadi.

Bidikan ayat ini amat tepat sekali kerana amalan dan gaya media khasnya portal dan media baharu mutakhir ini yang lebih bersifat mahu sensasi berbanding meletakkan integriti laporan sebagai perkara pokok.

Tajuk dan perbahasan isu yang dipaparkan separa benar, selain mengambil secara sekerat-sekerat laporan atau tidak mengambil geis keseluruhan intipati sesuatu kenyataan atau lebih tepat lagi mensensasikan dengan manipulasi ayat yang akhirnya akan menyebabkan pembaca terpengaruh dengan titipan awal laporan media.

Malah bilamana ianya diviralkan dan disensasikan pula oleh media baharu sama ada Facebook, WhatsApp, Telegram, Instagram dengan nada yang pelbagai cara menyebabkan fitnah melebar luas, menjadikan sumber sebenar kenyataan tidak lagi bermaksud seperti yang ditulis pada peringkat awal.

Lebih dari itu, ada pula yang nakal mencetus persepsi dengan tulisan tambahan bersekali dengan fitnah tokok tambah yang menyebabkan asas penyebaran maklumat akhirnya menjadi ‘penyebar fitnah’.

Lihat sahaja kes-kes perbicaraan di mahkamah, atau dakwaan ke atas seseorang walaupun ianya masih lagi belum dibicarakan, namun kecenderungan melapor dengan tokok tambah serta penyedap rasa dengan komen seolah menjatuhkan hukuman akan menyebabkan pembaca terdorong menjadikan bahan atau sumber berita itu suatu asas bahawa pihak yang sedang dibicarakan adalah bersalah sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman lagi.

Benar sensasi amat menyentuh ramai, malah naluri manusia amat sukakan sensasi, tetapi dalam masa yang sama, sekiranya sesebuah bahan yang dimanipulasi untuk menjadikannya sensasi, maka kecenderungan melapor perkara sebenar sudah menjadi nombor dua atau tidak terfikir langsung dek persembahan laporan.

Apatah lagi jika kes masih dalam siasatan sedang media dan netizen telah mengambil langkah melaporkanya umpama seseorang itu telahpun bersalah. Ini yang berlaku sejak sekian lama di negara ini.

Stand atau pendirian PAS Sejak dahulu jelas bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi mana dia tidak diadili, tidak dijatuhkan hukuman dengan pembuktian jelas di mahkamah.

Apatah lagi jika ada niat mahu mengaibkan pihak yang didakwa, maka ia bukan cara yang sepatutnya.

Apa yang disebut Tuan Guru Abdul Hadi “Slogan tersebut bertemakan konsep demokrasi purba yang telah diperbaharui semula sepertimana ungkapan berikut: “Vox populi, vox Dei (the voice of the people is the voice of God).”

Petikan di perenggan kedua dan ketiga, jelas sekali bagaimana kebanyakkan media baharu hari ini menjadikan Barat sebagai kiblat.

“Apakah semua ciptaan Barat boleh diikut secara semberono, sehingga membentuk persepsi yang mencelarukan dan mewujudkan naratif yang salah serta sesat lagi menyesatkan?” soal Tuan Guru Abdul Hadi tegas dengan pendiriannya.

Kata Tuan Guru Abdul Hadi, Islam memuliakan manusia dengan akal dan ilmunya, namun mewajibkan mereka berpandukan hidayah (petunjuk) Allah SWT kerana manusia itu banyak kelemahannya. Hanya segelintir daripada kalangan mereka sahaja yang berilmu, sedangkan majoritinya pula tidak berilmu.

Maka perlu dipertegaskan bahawa roh kepada kenyataan ini sebenarnya konsisten dan amat tidak berubah iaitu kita sebagai pengamal media tidak perlu menjadikan media Barat sebagai rujukan dalam melaporkan sesuatu perkara hingga boleh menyebabkan kita ini menjadi ‘hakim’ sebelum hakim di mahkamah menjatuhkan hukuman.

Apatah lagi jika selepas kita membuat laporan yang menjurus kepada tuduhan yang menyebabkan pembaca terpengaruh, sedangkan kemungkinan kes yang dikendalikan berkemungkinan tertuduh didapati tidak bersalah?

Sama-sama kita fikirkan, tiada bias kepada kes siapa sahaja kerana PAS konsisten dengan pendirian yang dinyatakan sekian lama. Media usahlah ambil tugas hakim pula. – HARAKAHDAILY 14/1/2022

- Advertisement -