Hong Kong larang penumpang transit dari 153 negara

Lapangan Terbang Hong Kong kini mengenakan prosedur kawalan ketat terhadap penerbangan dari negara asing susulan kes jangkitan varian Omicron. (FOTO AFP)
- Advertisement -

HONG KONG: Penumpang dari lebih 150 negara dilarang daripada transit melalui Hong Kong bermula Ahad (16 Jan) ini  selama sebulan, susulan prosedur langkah kawalan ketat perjalanan anti-virus  terbaharu di wilayah autonomi itu.

Lapangan Terbang Hong Kong dalam kenyataannya pada Jumaat (14 Jan) berkata, langkah tersebut adalah sebagai pengukuhan terhadap prosedur pengasingan Hong Kong di global apabila ia melaksanakan dasar sifar Covid-19

- Advertisement -

Sehubungan itu, Hong Kong telah menyenaraikan wilayah mengikut kategori berdasarkan tahap penyebaran jangkitan Covid-19 dengan 153 negara pada masa ini diklasifikasikan sebagai Kumpulan A.

“Perkhidmatan pemindahan/transit penumpang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong untuk mana-mana individu yang telah tinggal di tempat tertentu di negara dalam klasifikasi Kumpulan A dalam tempoh 21 hari lalu akan digantung,” ujar kenyataan tersebut,  sambil menambah bahawa larangan itu diperlukan untuk mengawal penyebaran varian Omicron.

Penduduk dari lapan negara dalam dalam Kumpulan A terdiri daripada Australia, Kanada, Perancis, India, Filipina, Pakistan, United Kingdom dan Amerika Syarikat sebelum ini telah dilarang sama sekali daripada memasuki Hong Kong.

Terdahulu, Hong Kong digemparkan dengan penularan Omicron yang bermula dengan kru syarikat penerbangan Cathay Pacific yang yang melanggar peraturan kuarantin di rumah, sehingga ia telah mengenakan semula peraturan penjarakan sosial yang ketat, termasuk menutup gimnasium dan larangan makan di restoran selepas jam 6 petang.

Kerajaan Hong Kong juga sedang menyiasat Cathay Pacific dan berkata syarikat itu mungkin menghadapi tindakan undang-undang.

Penggantungan transit itu pertama kali dilaporkan oleh Bloomberg News minggu ini memetik sumber yang berkata ia tidak akan dikenakan kepada diplomat, pegawai dan atlet yang menuju ke Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan depan di Beijing.

Kenyataan lapangan terbang Hong Kong pada hari Jumaat bagaimanapun menyenaraikan tiada pengecualian untuk perwakilan Olimpik. – Agensi

- Advertisement -