Bas elektrik sokong usaha neutral karbon 2050

- Advertisement -

PUCHONG: Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penggunaan bas elektrik penuh akan dimulakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan bandar besar sebelum diperluaskan ke seluruh negara sebagai menyokong usaha kerajaan bagi negara mencapai status neutral karbon seawal 2050.

Beliau difahamkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membuat tempahan 60 buah bas elektrik penuh daripada pengeluar bas Kumpulan SKSBus yang akan diperolehi secara berperingkat bermula tahun ini hingga 2023.

- Advertisement -

Ismail Sabri berharap syarikat bas lain dapat mencontohi usaha DBKL yang memberikan perkhidmatan bas percuma GoKL yang menggunakan bas elektrik bagi menjayakan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia neutral karbon seawal 2050.

“Untuk mencapai sasaran negara menjadi neutral karbon seawal 2050, semua pihak perlu terlibat,” katanya kepada media selepas melawat kilang integrasi bas elektrik penuh Kumpulan SKSBus di Pulau Meranti di sini hari ini.

Kumpulan SKSBus melalui unitnya SKS Coachbuilders Sdn Bhd mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam industri pembinaan bas. Ia antara pengilang bas di Malaysia dengan pengesahan sebagai Barangan Buatan Malaysia dan dilengkapi dengan bantuan kilang robotik.

Kumpulan SKSBus sejak 2019 telah bekerjasama dalam bidang teknikal dengan Kumpulan CRRC China iaitu pengilang lokomotif eletrik dan rolling stock terbesar di dunia untuk membina bas elektrik penuh.

Bas elektrik penuh SKSBus mampu melengkapkan perjalanan sehingga 250 kilometer untuk sekali pengecasan. – HARAKAHDAILY 14/1/2022

- Advertisement -