Syarikat sahkan menteri lengkap vaksin tunai umrah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Multaqa al-Iman Travel Sdn Bhd mengesahkan Menteri Alam Sekitar dan Air Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man lengkap vaksin yang diwajibkan sebelum bertolak menunaikan umrah.

Pengarah Urusannya Mohd Nazri Ishak berkata, kenyataan yang tular di media sosial berkaitan salah seorang jemaah syarikat tidak vaksin adalah tidak benar dan ia berunsur fitnah.

- Advertisement -

“Pihak syarikat memastikan semua jemaah wajib melalui proses sebagai peserta umrah atau pengembara seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi,” katanya pada kenyataan hari ini.

Semalam sebuah laman berita mendakwa pendakwah bebas dikenali sebagai Abu Syafiq mendedah terdapat individu dalam kerajaan yang turut menunaikan ibadah umrah, namun tidak mendapatkan vaksin vaksin meningococal meningitis (MM).

Menurutnya dalam laporan itu mereka termasuk Menteri Alam Sekitar dan Air.

Mohd Nazri juga berkata, syarikatnya menguruskan rombongan jemaah mengerjakan umrah seramai 26 orang yang turut disertai Tuan Ibrahim pada Disember lepas.

“Pihak syarikat sudah membuat semakan dan perincian setiap jemaah berkaitan vaksin yang diwajibkan Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia seperti MM dan Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

- Advertisement -