Pemuda hilang Isnin lepas ditemui dalam paya

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH:
Seorang pemuda yang dilaporkan hilang tiga hari lepas dijumpai dalam keadaan lemah sedang berpaut pada sebatang pokok dan tidak berpakaian dalam paya.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Endiansha Endal berkata, Ahmad Zul Mukriz Zakaria, 22 ditemui berhampiran perkampungan penempatan semula perumahan nelayan Tok Bali malam tadi.

- Advertisement -

Katanya, mangsa dijumpai penduduk kampung yang terdiri anggota Bomba Sukarela (PBS) selepas mendengar suara meminta tolong jam 8.15 malam.

“Mangsa ketika dijumpai berada dalam keadaan lemah dan kesan-kesan tercalar di beberapa bahagian badan kemudian dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk diberi rawatan lanjut.

“Sehingga sekarang keadaannya stabil,” katanya pada satu kenyataan menerusi Aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Menurutnya juga operasi mencari mangsa disertai 44 anggota penyelamat dari pelbagai agensi kerajaan termasuk RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Bomba dan Penyelamat, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), polis dan penduduk kampung.

Operasi tersebut juga disertai Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim dan petugas Pusat Khidmat Dun.

Ahmad Zul Mukriz dilaporkan hilang setelah terkejut dengan kehadiran kereta peronda polis ketika sedang membuang sampah Isnin lepas.

Endiansha juga berkata, setelah menerima aduan daripada keluarga mangsa polis terus melancarkan gerakan mengesan mangsa di sekitar hutan terbabit. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

- Advertisement -