Menyorot kembali Majlis Syura Ulamak dalam empat dekad kepimpinan ulama

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

PAS dalam tujuh dasawarsa ini telah bergulat dengan lapangan dakwah, tarbiah dan siasah, merentas gelora tekanan politik rejim sehinggalah menikmati kejayaan menjadi sebahagian kerajaan Persekutuan dan berkuasa di tiga buah negeri. Keanggotaannya sentiasa membesar walau pelbagai tuduhan, usaha meremehkan PAS dibuat oleh para pembenci. Ramai sarjana sains politik meletakkan kekuatan PAS adalah kerana dipandu oleh alim ulama serta dasarnya yang kukuh. Pimpinan boleh datang dan juga pergi meninggalkan bahtera PAS namun harakatul ummah ini terus bergerak.

Perjalanan panjang harakatul ummah ini sangat berwarna warni, menerjang badai di samudera medan amal Islami yang luasnya tak bertepi, bersulam mehnah dan tribulasi. Dalam bahtera besar gerakan Islam PAS ini, Majlis Syura Ulamak merupakan pancang perjuangan, badan terpenting, malah membezakan PAS dengan parti-parti serta NGO-NGO yang lain. Kini, badan penting ini menerima terjahan dan kritikan daripada luar dan dalam PAS, disuluh dengan arca tembus pandang bagi memastikan PAS terus bergerak diatas landasan yang kukuh.

PAS dikawal perjalanannya oleh Majlis Syura Ulamak, sebuah badan yang  yang tercetus daripada usul Dewan Pemuda PAS Pusat dalam muktamar PAS pada 22 Oktober 1982, seiring dengan transformasi yang berlaku dalam kepimpinan PAS. Badan ini menjadi vanguard yang berautoriti dan mesti dilihat “bersih” para pengawal dalam entiti terpenting parti ini.

- Advertisement -

Semarak kebangkitan Islam telah menjelmakan konsep kepimpinan ulama, PAS dengan agresif mewajahkan wataknya yang tertegak diatas tunjang dakwah, tarbiah dan siasah. Penubuhan Majlis Syura Ulamak adalah cetusan bagaimana PAS berinteraksi dengan transformasi kepimpinan itu. Badan yang menghimpunkan ulama berwibawa mentarjih hala tuju dan perjalanan parti Islam tertua di negara ini, penyambung legasi Hizbul Muslimin yang diharamkan pada tahun 1948.

Peranannya jelas, iaitu Majlis Syura Ulamak berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS di mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan PAS yang hendak menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat ketetapan mengenainya, mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan ini dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasai serta memelihara dasar supaya dasar dan ketetapan serta kehendak dalam Perlembagaan parti dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS serta memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS.

Berdasarkan kepada skala tugas yang dinyatakan dalam Perlembagaan PAS, maka jelaslah penubuhan Majlis Syura Ulamak adalah kearah mengukuhkan lagi kedudukan “DNA” PAS iaitu ulama yang berperanan dan dihormati. Majlis Syura Ulamak wajib dilihat tidak berkepentingan peribadi, didukung oleh ulama yang mempunyai mempunyai keluhuran akhlak yang tak dipertikaikan. Jika sosok-sosok badan tertinggi Parti Islam ini diragui maka imej dan reputasi PAS sebagai gerakan Islam akan turut tercalar.

Ulama di dalam gerakan Islam ini dan meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya. Peranan mereka bukan sahaja menyatu tenaga dan fikiran sesama ulama tetapi juga terfokus dan terarah kepada persoalan-persoalan yang menyentuh dasar dan perjalanan parti ini. Segala gerak kerja PAS yang hendak dilakukan mestilah mendapat persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak. Dengan wujudnya badan ini, mampu mengatasi stail kepimpinan berorientasikan individu yang pernah berlaku dalam PAS dalam dekad 70-an.

Bagi mengesahkan kepimpinan ulamak di peringkat PAS Pusat maka pindaan Perlembagaan PAS dibuat dalam Muktamar Tahunan Agung PAS Pusat yang ke-29 pada 29 April 1983 telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS bagi menubuhkan Majlis Syura Ulamak. Pindaan ini kemudian diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 18 Mac 1987 bagi membolehkan seorang Mursyidul Am dilantik (Perlembagaan PAS, Fasal 7, 1987:4-9) dan Ustaz Yusof Rawa dilantik sebagai al-Mursyidul Am PAS pertama pada November tahun 1987, uniknya beliau juga adalah Presiden PAS saat itu.

Majlis Syura Ulamak berfungsi sebagai badan yang memantau dan mengawal agar perjuangan parti terus selari dengan syariat Islam, tidak bercanggah dengan syarak, dengan erti kata lain, PAS terpandu dengan pedoman Islam. Ustaz Yusof Rawa menegaskan penubuhan Majlis Syura Ulamak ini adalah untuk mengembalikan peranan ulamak sebagai pemimpin ummah dan segala dasar, segala keputusan parti akan sentiasa berpaut kepada ajaran Islam dan tidak akan keluar daripada panduan dan bimbingan mereka (Yusof Rawa, 1987:18)

Asal muasal kepada penubuhan Majlis Syura Ulamak antaranya ialah kerana jemaah ini tidak lagi mahu melihat PAS membuat satu keputusan yang dikuasai oleh individu atau puak tertentu dalam parti seperti yang pernah berlaku dalam dekad 1970-an. Kedudukan ulama PAS yang sebelum ini agak dikesampingkan, tidak dominan, akhirnya telah mula memainkan peranan penting dalam pembentukan perjalanan parti, segala dasar yang hendak dijalankan mesti terlebih dahulu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak. Tanpa persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak sesuatu perkara yang melibatkan dasar tidak boleh dilakukan.

Harakatul ummah ini sangat signifikan dalam pandangan warga negara ini, maka tak pelik jika segala isu berkaitan dengan Islam maka PAS akan terus diserang dan dihujat oleh netizen. Pandangan PAS serta Majlis Syura Ulamak PAS dinanti-nantikan oleh rakyat serta ahlinya maka sebab itulah ahli MSU mestilah dipilih daripada kalangan yang terbaik (sofwah mukhtarah), piawai dan mempunyai pakej kompetensi. Ahli Majlis Syura Ulamak wajib dipilih daripada kalangan yang paling faqih, bergulat dalam medan operasional walaupun menggalang jawatan sebagai cendekia di menara gading. Badan ini tak perlukan jawatan bendahari organisasi, badan ini memerlukan sang genius yang membumi dengan perjuangan, memahami dunia pergerakan Islam dengan pena’ kulan yang akurat, mesra ibadah berwatak sufi haraki.

Dr Riduan Mohamad Nor

Empat dekad Kepimpinan ulama telah berlangsung, PAS menjadi tarikan pesona terbesar kepada umat Islam di negara ini serta turut menjadi rujukan kepada gerakan Islam yang lain dalam dunia kontemporari. Sepanjang tempoh ini juga beragam pengalaman ditempuhi oleh PAS, wajar juga kita bercermin, revisited akan peranan Majlis Syura Ulamak di dalam harakatul ummah ini. Segala penambaikan wajib digandakan, apa yang kelihatan samar atau garisan halus hitam putih yang kelihatan bertindan dengan jawatan kuasa “eksekutif” parti perlu diluruskan, dengan erti kata lain kita wajib melawat kembali tapak mula asal penubuhan Majlis Syura Ulamak di dalam parti ini. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -