Melaka pasang siren kecemasan di lokasi risiko banjir

- Advertisement -

JASIN: Mesyuarat Exco kerajaan negeri Melaka semalam bersetuju memasang siren kecemasan di semua lokasi risiko banjir di negeri itu.

Ketua Menteri Dato’ Seri Sulaiman Md Ali berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memberi amaran kepada penduduk sekiranya kawasan mereka dilanda banjir.

Katanya, pelaksanaan sistem tersebut akan diselaraskan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Unit Kerajaan Tempatan (UKT) di bawah Jabatan Ketua Menteri.

- Advertisement -

“Fokus utama kita pasang siren di bandar dan luar bandar yang mana kawasan tersebut rendah, mempunyai penduduk padat dan sering dinaiki air ketika hujan.

“Dengan adanya siren kita dapat amaran lebih awal, kita akan cari solusi masalah banjir yang berlaku,” katanya seperti dilapor Melaka Hari Ini selepas merasmikan Seminar Bemban Maju Jaya Kali Pertama di Kompleks Japerun Bemban di sini, hari ini.

Pada awal bulan ini daerah Melaka Tengah dilanda banjir gelombang kedua menyebabkan seramai 507 mangsa daripada 134 keluarga dipindahkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurut laporan media lapan PPS tersebut iaitu tujuh di daerah Alor Gajah dan satu di daerah Melaka Tengah. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

- Advertisement -