Mangsa kebakaran, banjir wajar terima bantuan sama

- Advertisement -

TAWAU: Mangsa kebakaran rumah dilihat wajar menerima bantuan sama seperti mangsa bencana banjir yang diumumkan kerajaan kerana mereka juga kehilangan rumah dan harta benda sepenuhnya dalam kejadian tersebut.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata sehubungan itu, pihaknya akan membawa cadangan untuk memberikan bantuan yang sama rata untuk mangsa banjir dan kebakaran ke pihak atasan untuk dipertimbangkan.

- Advertisement -

“Kita cuba sampaikan misalnya kalau mangsa banjir ada bantuan wang ihsan dan mereka yang ‘total lost’ (kerugian sepenuhnya) ada bantuan rumah, jadi mangsa kebakaran rumah ini juga berdepan masalah sama, sebaiknya mereka juga dipertimbangkan mendapat bantuan sama.

“Saya melawat 40 keluarga di Kampung Sungai Buaya, Tawau Lama, mereka ini mangsa kebakaran Ahad lepas dan hari ini kita menyalurkan sumbangan Tabung Bencana Jabatan Kebajikan, selain itu kementerian akan melihat keperluan lain dan kita bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Sungai Buaya yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara berhampiran Masjid Habib Abdul Rahman, Batu 2 di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Siti Zailah berkata mangsa kebakaran berkenaan turut mendapat bantuan daripada kerajaan negeri termasuk badan bukan kerajaan yang turun padang memberikan sumbangan antaranya kit makanan dan pakaian. 

Sementara itu, mangsa kebakaran Ghani Sabturani, 70, bingung memikirkan nasib keluarga yang tidak mempunyai rumah untuk didiami jika pusat pemindahan sementara yang diduduki ketika ini ditutup kelak.

“Saya harap kerajaan bantu untuk dapatkan rumah seperti program perumahan rakyat (PPR), saya tidak ada rumah lain, terpaksa menyewa selepas ini dengan anak dan cucu-cucu lagi, kerana rumah sendiri sudah terbakar, barang semua musnah,” katanya. 

Bagi Jocelyn Abdullah, 23, berharap kerajaan dapat menyediakan bantuan rumah sekurang-kurang rumah PPR untuk disewakan kepada mangsa kebakaran dengan harga murah.

“Ketika ini saya dan dua anak serta suami menumpang di rumah ibu saya di Batu 4, tapi malu mahu susahkan ibu bapa,” katanya sambil berkongsi ketika kejadian, dia berlari keluar rumah berkaki ayam dengan mengendong dua anaknya, selepas tersedar daripada tidur dan melihat dinding bilik terbakar.

Pada Ahad lepas, 40 rumah musnah terbakar di Kampung Sungai Buaya, Tawau Lama di sini membabitkan 312 mangsa dengan sepasang suami isteri rentung dan tujuh melecur dalam kejadian 12.20 tengah malam itu. – BERNAMA 13/1/2022

- Advertisement -