Malaysia duduki tangga ke-13 Indeks Pemulihan COVID-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengucapkan tahniah serta menzahirkan penghargaan kepada seluruh Keluarga Malaysia, atas keupayaan negara menduduki tangga ke-13 Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei Asia.

Menerusi catatan di laman Facebook hari ini, beliau berkata pencapaian itu adalah hasil kerja keras dan semangat penyatuan setiap ahli Keluarga Malaysia, semasa bersama-sama menempuhi pandemik COVID-19.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, Malaysia memperoleh 66.5 mata dalam Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei Asia yang tertinggi bagi negara ASEAN dan tangga ke-13 daripada 122 negara atau wilayah.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Keluarga Malaysia termasuk wira-wira kita iaitu #frontliners (petugas barisan hadapan) yang bertungkus lumus memelihara rakyat dan negara daripada ancaman wabak COVID-19 ini,” katanya.

Ismail Sabri juga mengajak Keluarga Malaysia untuk sentiasa mengekalkan keutuhan semangat sebagai sebuah keluarga dan bersama-sama menempuh cabaran dalam tempoh pemulihan negara daripada COVID-19.

Perdana Menteri seterusnya mengingatkan orang ramai untuk tidak alpa dan terus menjaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling meskipun telah mencapai indeks yang terbaik.

Berdasarkan Indeks Pemulihan COVID-19 Nikkei setakat 31 Dis 2021, Malaysia berada di tangga ke-13 dengan 66.5 mata manakala Bahrain menduduki tempat teratas dengan 82 mata diikuti Chile (76.5 mata) dan Taiwan (75.5 mata). 

Kedudukan lebih tinggi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks itu menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes COVID-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat. – BERNAMA 13/1/2022

- Advertisement -