Kes Chevaline: Suspek bunuh ditahan selepas 9 tahun

Saad al-Hilli ditembak mati bersama isterinya, Iqbal dan ibu mertuanya Suhaila di pinggir Chevaline, berhampiran Tasik Annecy, di Pergunungan Alps, Perancis pada 5 September 2012. (FOTO Daily Mail)

Susunan: YUSMAN AWANG

PARIS: Seorang lelaki warga Perancis telah ditahan polis di Pergunungan Alps, Perancis pada Rabu (12 Jan) kerana disyaki membunuh empat individu, termasuk tiga ahli keluarga warga Britain dalam satu tragedi berdarah yang berlaku lebih sembilan tahun lalu.

Pejabat pendakwa raya Annecy dalam satu kenyataan berkata, Saad al-Hilli dan isterinya, Iqbal al-Hilli, 47, serta ibu mertuanya yang berusia 74 tahun, Suhaila al-Allaf meninggal dunia selepas ditembak di pinggir Chevaline, berhampiran Tasik Annecy dekat sini pada 5 September 2012. 

Advertisement

Ketiga-tiga Saad, Iqbal dan Suhaila telah dihujani beberapa das tembakan ketika berada di dalam kereta BMW yang dipandu Saad, dengan lebih daripada dua dozen kelongsong peluru telah ditemui berhampiran kenderaan itu.

Seorang pelumba basikal warga Perancis, Sylvain Mollier, 45, turut maut pada masa dan lokasi yang sama selepas ditembak sebanyak tujuh das dari jarak dekat.

“Seorang suspek warga Perancis telah ditahan pada 12 Jan 2022 jam 8:05 pagi (waktu tempatan) oleh unit siasatan Chambéry berhubung pembunuhan tiga ahli keluarga Al Hilli dan Sylvain Mollier, dalam tragedi yang dilabelkan sebagai ‘kes Chevaline’ itu,” ujar kenyataan tersebut.

Pihak media di lokasi pembunuhan tiga ahli keluarga al-Hilli di Chevaline. (FOTO Getty Images)

Lelaki yang tidak dinamakan itu telah ditahan di kediamannya dekat sini atas perintah hakim penyiasat yang ditugaskan untuk menyiasat kes berkenaan dan rumahnya itu turut digeledah pada pagi Rabu, lapor CNN.

Dalam kejadian tragis itu juga, anak perempuan sulung keluarga al-Hilli, Zainab yang berumur tujuh tahun ketika kejadian, telah ditemui oleh seorang penunggang basikal warga Britain yang merupakan orang pertama muncul di tempat kejadian. 

Zainab yang cedera parah akibat dipukul dengan pistol dan tembakan bagaimanapun berjaya diselamatkan nyawanya.

Sementara anak perempuan kedua keluarga al-Hilli, Zeena yang berumur empat tahun pula, hanya ditemui beberapa jam kemudian tanpa sebarang kecederaan, kerana bersembunyi di belakang kereta di bawah kaki ibunya yang sudah meninggal dunia.

Pembunuh bersiri

Motif di sebalik tragedi pembunuhan beramai-ramai itu bagaimanapun masih misteri. Dilahirkan di Baghdad, Iraq, pada tahun 1962, Saad al-Hilli adalah warganegara British yang telah menetap di United Kingdom selama beberapa dekad. 

Saad merupakan seorang jurutera yang bekerja di Surrey Satellite Technology, syarikat teknologi tinggi dimiliki oleh EADS, sebuah syarikat aeroangkasa yang membina satelit; dan beliau menetap bersama keluarganya di bandar Claygate, di daerah Surrey di selatan United Kingdom.

Sylvain Mollier maut akibat 7 das tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat di lokasi kejadian pembunuhan.

Hampir sedekad selepas pembunuhan itu, siasatan yang melibatkan kira-kira 100 polis Perancis dan Britain setakat ini gagal menyelesaikan kes tersebut. 

Sepanjang tempoh siasatan dijalankan sebelum ini, beberapa individu telah ditahan tetapi tidak pernah didakwa. Pada 2014, pihak berkuasa Perancis berkata bahawa seorang penunggang motosikal yang sudah lama dikehendaki berhubung kes pembunuhan itu telah dikenal pasti tetapi akhirnya didapati tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu. 

Selepas semakan, pihak berkuasa juga gagal mengaitkan kes Chaveline itu dengan suspek dalam beberapa kes pembunuhan bersiri yang juga berlaku di sekitar Pergunungan Alps, Nordahl Lelandais yang merupakan seorang bekas tentera Perancis, lapor France24.com.

Nordahl Lelandais mengaku membunuh askar muda, Arthur Noyer dan kanak-kanak berusia lapan tahun, Maelys de Araujo.

Selepas didakwa di mahkamah pada 12 April 2017, Lelandais mengaku membunuh seorang askar muda, Arthur Noyer, 23, yang kali terakhir dilihat membonceng motosikal yang ditunggangnya. 

Menurut laporan psychology.com, Lelandais juga mengaku membunuh kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, Maelys de Araujo yang hilang pada 27 Ogos 2017 ketika menghadiri sebuah majlis perkahwinan bersama keluarganya; dan dia bakal dibicarakan bagi kes tersebut pada tahun hadapan.

Banduan Iraq

Seorang lagi suspek yang sebelum ini ditahan berhubung kes itu ialah seorang banduan Iraq yang dikenali sebagai Encik S yang didakwa berkata dia telah ditawarkan ‘sejumlah besar wang’ untuk membunuh seorang rakyat Iraq yang tinggal di UK.

Pada 2020, pihak polis kembali membuat soal siasat dengan Zainab dan Zeena, dan pada 2021, kumpulan penyiasat telah kembali ke lokasi kejadian yang terletak berhampiran perkampungan Chevaline.

Suhaila al-Allaf meninggal dunia selepas ditembak di Chevaline bersama anaknya, Iqbal al-Hilli dan menantunya, Saad al-Hilli.

Polis juga sedang menyiasat kemungkinan kes itu ada kaitan dengan sekumpulan pembunuh upahan yang menetap di Paris susulan jawatan Saad sebagai jurutera di EADS.

Dalam pada itu, satu ‘plot twist’ dalam kes ini ialah apabila tanpa diketahui keluarganya, Iqbal pernah menetap di Amerika Syarikat antara Februari 1999 dan Disember 2000, dan sebelum mengahwini Saad, dia telah berkahwin seketika dengan seorang warga AS yang berusia 13 tahun lebih tua daripadanya, Jim Thompson.

Jim Thompson meninggal dunia pada hari yang sama bekas isterinya, Iqbal al-Hilli mati ditembak di Chevaline, Perancis.

Namun, apa yang menimbulkan persoalan ialah apabila Thompson turut meninggal dunia pada 5 September 2021, hari yang sama Iqbal bersama Saad dan ibunya, Suhaila mati ditembak.

Thompson dikatakan menghembuskan nafasnya di AS akibat serangan jantung, dan lebih menimbulkan persoalan ialah apabila adik perempuan Thompson, Judy Weatherly mendakwa abangnya itu dan Iqbal menjalin hubungan sulit sepanjang sembilan tahun perkahwinan Iqbal dan Saad.

Harta peninggalan keluarga

Dalam pada itu, lapan tahun lalu pada 24 Jun 2013, Zaid al-Hilli, 53, adik kepada Saad telah ditahan kerana disyaki sebagai suspek kes tersebut tetapi telah dibebaskan dengan ikat jamin pada 31 Julai 2013; dan akhirnya diwartakan sebagai tiada kaitan pada awal 2014 oleh polis Britain selepas didapati tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwanya.

Terdahulu, Zaid pernah disyaki sebagai suspek atas dakwaan pertikaiannya dengan Saad berhubung harta warisan keluarga. 

Zaid al-Hilli pernah disyaki sebagai suspek pembunuhan tiga ahli keluarga al-Hilli.

Bapa Saad dan Zaid, Kadhim al-Hilli yang telah meninggal dunia di Sepanyol pada 2010  meninggalkan beberapa aset hartanah dan wang tunai £800,000 dalam akaun bank Geneva. 

Saad kemudian mengupah peguam untuk menyekat wasiat Kadhim sehingga pertikaian keluarganya yang ‘tidak diketahui perinciannya’ itu diselesaikan.

Sementara dalam kenyataannya kepada MailOnline ketika mengulas tentang penahanan suspek terbaharu kes pembunuhan abangnya itu, Zaid, yang kini berusia 62 tahun, berkata, beliau berharap akan ada sabitan kesalahan dibuat bagi menyelesaikan misteri di sebalik kejadian yang berlaku sejak lebih sembilan tahun lalu itu.

“Namun, saya harap penahanan suspek terbaharu ini bukan sekadar untuk menunjukkan pihak berkuasa di Perancis sedang melakukan sesuatu berhubung kes tersebut.

“Dengan semua (siasatan) yang telah dilakukan sejak lebih sembilan tahun lalu, saya sangat ragu-ragu dengan siasatan ini tetapi saya berharap keadilan akan jadi kenyataan,” ujarnya menaruh harapan. – HARAKAHDAILY 13/1/2022