Armada bantu wakil rakyat PAS bersih lokasi banjir

- Advertisement -

SEGAMAT: Armada Task Force dan Skuad Prihatin Bersatu Johor membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir di Segamat dan Pagoh.

Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, skuad tersebut disertai 200 sukarelawan membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

Katanya, kebanyakan rumah yang menjadi tumpuan Armada milik warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

- Advertisement -

“Kami turut bersihkan masjid dan balai raya di Bukit Gambir. Syabas dan tahniah Armada Johor di bawah kepimpinan Shamsuddin Paijan,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Menurutnya juga Bilik Gerakan Banjir Armada di Johor dianggap terbaik dan wajar dicontohi semua Armada di negara ini.

Manakala pada Jumaat lepas Armada Task Force dan Skuad Prihatin Bersatu membantu Ahli Parlimen (MP) Kemaman Che Alias Hamid dan Adun Air Puteh Abdul Razak Ibrahim membersih rumah mangsa banjir di Kampung Teladas.

Wan Ahmad Fayshad berkata, hujan lebat di Sungai Lembing yang bersempadan dengan Kemaman memberi kesan kepada penduduk kampung berkenaan.

“Kami mengagih barangan keperluan asas pasca banjir hasil sumbangan Bersatu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

“InsyaAllah Armada dan Pemuda Perikatan Nasional komited membantu kerajaan Terengganu bagi membantu rakyat yang terjejas akibat banjir,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

- Advertisement -