Apa kekuatan PAS?

BEBERAPA lama kurang semangat menulis politik. Bukan apa, sangat terkesan dengan banjir. Melihat ketabahan mangsa banjir dan ketabahan anggota Jabatan Amal (AMAL) PAS membantu mereka, semuanya menginsafkan. Hari ini saya menulis menutup tempoh kesan banjir dengan pelbagai bantuan dari insan prihatin warga Malaysia berhati mulia.

Banyak juga tersebar gambar ahli politik dengan lakonan mereka. Ada juga ahli politik yang bersembunyi dalam gua. Namun komen mereka luar biasa. Seolah tenggelam dalam lumpur separas dada.

Advertisement

Saya tercari-cari gambar ahli politik yang juga bekas Menteri yang pernah kantoi dengan gambar meredah air separas dada padahal bertinggung dalam air. 

Kesimpulan yang boleh saya buat, PAS telah berjaya mentarbiah ahli dan pimpinannya ‘beramal kerana Allah’. Ahli dan pimpinan sama berpeluh berbaju merah. Tak dikenal mana pimpinan dan mana satu ahli yang tidak langsung berjawatan. 

Ada ketikanya anak muda yang tak kenal pimpinan negeri lain malah mengarahkan pimpinan mencuci lumpur bersamanya. Semua itu coretan keikhlasan perjuangan dalam PAS yang sesekali melucukan. Apatah lagi setelah menyedari yang disuruh itu pimpinan utama malah berjawatan Exco. 

Ia mungkin bukan dendangan di akhbar atau media. Kerana itu bukan matlamatnya. Keyakinan bahawa wangian kebaikan tidak mampu disembunyikan adalah benar. Sama seperti keburukan yang dihiasi pakaian baru tetap berbau busuknya. 

Mungkin media tidak mendendangkan. Namun ia tetap menjadi bualan mangsa banjir di kedai kopi dan surau. Ia diceritakan kepada anak cucu dan sahabat handai yang datang menziarahi.

Mungkin juga tidak disedari sebahagian sukarelawan yang bermandi lumpur dan peluh atas nama NGO juga kebanyakannya ahli yang ditarbiah oleh PAS. Cuma mereka datang atas nama NGO yang juga di bawah naungan PAS.

Tidak dinafikan terlalu ramai datang menghulur bantuan. Namun semua itu tidak memberi kesan berpanjangan sepertimana kesungguhan membersihkan rumah dan lumpur yang menyesakkan jiwa melihatnya.

Ramai yang berminat beraksi di depan media menghulur bantuan. Namun tak ramai yang sanggup bergelumang lumpur dan kotoran menyelami kesedihan. Tidak dinafikan semuanya berfaedah dan bermanafaat. Hanya nilaian tetap berbeza bergantung kesungguhan dan keikhlasan. 

PAS ada unit beruniform seperti ini yang sanggup bekerja kotor tanpa bayaran dan glamour. Tulisan ini mengajak kita bertanya apa kekuatan PAS? Tepat dan benar jika saya katakan inilah nilai akidah yang dipupuk sekian lama dalam usrah, liqa’, mukhayyam dan pelbagai sistem dan program pengukuhan iman dalam PAS. 

Tidak keterlaluan jika saya katakan, hasil inilah yang melahirkan ‘walaun’ yang dicemburui pesaing dan lawan PAS. Kerana itu ‘walaun’ cuba dipersepsikan buruknya namun bagi kami ia satu kebanggaan. Kami adalah walaun yang disifatkan al-Quran.

FAIRUZ HAFIIZ OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 13/1/2022