‘Unboxing isteri’: Perlunya promosi nilai Keluarga Islam

- Advertisement -

MASYARAKAT hari ini hidup di zaman bercampur baur antara perkara yang halal dan haram. Hal ini bukan perkara yang pelik melihat kepada bagaimana media sosial dioptimumkan sepenuhnya untuk mengumpul kekayaan melalui populariti dan ramainya jumlah ‘follower’. 

Sedikit sebanyak tempias ini turut menjejaskan nilai-nilai dalam sebuah institusi Keluarga Islam. Pasangan suami isteri tidak lagi menghiraukan maruah, sehingga sanggup mendedahkan aib pasangan demi sebuah ‘content’. 

- Advertisement -

Trend ‘unboxing isteri’ misalnya, boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga, apabila bakal ibu bapa sebagai tonggak institusi ini daripada awal lagi sudah tidak mengikut landasan nilai yang betul, apatah lagi mahu memupuk nilai moral anak-anak.

Memandang berat peranan keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif memperkenalkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) Tahun 2019–2025.

Pelan ini diperkenalkan bertujuan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan orang Islam di negara ini. Antara langkah-langkah yang diperkenalkan pelan ini adalah penetapan agar setiap agensi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mestilah memanfaatkan dan mengoptimumkan penggunaan media massa dan media sosial bagi mempromosikan nilai-nilai murni dalam institusi kekeluargaan Islam.

Perancangan di pihak kerajaan ini juga sangat memerlukan kepada kerjasama yang holistik daripada semua lapisan masyarakat bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam pada hari ini. Justeru, selain daripada menjelaskan hukum Islam yang melarang trend ‘unboxing isteri’ ini, saya menyeru agar semua pihak yang berperanan turut mengambil tindakan proaktif dengan mempromosi nilai Keluarga Islam terutamanya di saluran media baharu yang ada.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 12/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100050311487174/posts/482445050109207/

- Advertisement -