Timbalan menteri beri komitmen bantu usaha PBSLDN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, beliau berpuas hati dan gembira dengan peranan Skim Latihan Dual Nasional (SLDN).

Menurutnya, SLDN merupakan salah satu kaedah latihan dan pembelajaran yang berlandaskan industry driven di mana sesi pembelajaran akan dikendalikan melalui usaha sama syarikat-syarikat pemain industri dan institusi latihan.

- Advertisement -

“Sejujurnya, saya berpuas hati dan gembira dengan peranan yang dimainkan oleh SLDN dalam membantu kerajaan dan menawarkan peluang pembelajaran serta kursus-kursus kemahiran jangka pendek kepada masyarakat terutama untuk golongan B40,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau, semalam.

Katanya, petang semalam, beliau menerima kunjungan daripada ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Pusat Bertauliah Skim Latihan Dual Nasional (PBSLDN) yang diketuai oleh pengerusinya, Dato’ Joyah Abd Rashid.

“Insya-Allah, saya akan memberikan komitmen sebaiknya dalam membantu usaha-usaha murni persatuan ini agar rakyat mendapat manfaat yang banyak daripada program-program yang berkualiti oleh SLDN,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pendang.

Harakahdaily difahamkan jangka masa SLDN berdasarkan kepada tahap kemahiran yang telah ditetapkan dalam Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) sementara nisbah amali-teori ialah 70 hingga 80 peratus latihan amali di industri dan 20 hingga 30 peratus latihan teori di pusat latihan.

SLDN berkonsepkan pendekatan pembelajaran kendiri dengan kaedah penyampaian day release system, contohnya latihan amali selama empat hari di dalam syarikat dan diikuti oleh satu hari kelas teori yang berkaitan di pusat latihan.

Jika perlu, bagi kaedah penyampaian block release system pula, di mana tiga hingga empat bulan latihan praktikal diikuti dengan satu hingga empat minggu kelas teori berkaitan.

Pelatih SLDN melibatkan lepasan SPM, belia menganggur atau pekerja yang sedang bekerja yang telah dipilih dan digaji oleh pihak syarikat.

Bagimanapun, syarikat tidak terikat untuk menawarkan pekerjaan selepas tamat latihan. – HARAKAHDAILY 12/1/2022

- Advertisement -