Tiada kaitan pembalakan punca harimau masuk kampung

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menafikan punca harimau berkeliaran di perkampungan Orang Asli di Gua Musang disebabkan aktiviti pembalakan sehingga bertindak membaham seorang penduduk baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, perkara itu perlu disahkan pihak berkaitan untuk mengkaji faktor sebenar berlaku kehadiran harimau di penempatan penduduk.

- Advertisement -

Katanya, tidak dapat ditolak kemungkinan haiwan liar itu keluar dari habitatnya disebabkan antaranya usia harimau itu tidak dapat lagi mencari makan di kawasan hutan.

“Bagaimanapun faktor sebenar belum dapat dikenal pasti. Mungkin itu andaian dan tohmahan. Jadi jangan cepat buat kesimpulan mengatakan aktiviti pembalakan menyebabkan harimau keluar.

“Setakat ini berdasar maklumat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ada tiga ekor harimau yang masuk ke kawasan kampung, tetapi yang membahang manusia harimau lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darulnaim hari ini.

Jumaat lalu, seorang penduduk kampung Orang Asli, Anek Bin Along, 59, di Kampung Sau, dekat Pos Bihai di Gua Musang mati akibat dibaham harimau.

Perhilitan kemudian menembak mati seekor harimau belang jantan berusia tiga tahun seberat 120 kilogram selepas ia cuba menyerang anggotanya yang membuat pencarian di kawasan hutan di tempat kejadian.

Susulan kejadian itu, sekumpulan penduduk Orang Asli yang mewakili suku Temiar menyerah memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri menggesa kerajaan supaya bertindak tegas menghentikan aktiviti pembalakan di Gua Musang.

Ketika ditanya mengenai kepupusan Harimau Malaya Mohd Amar berkata, setakat ini tiada sebarang laporan berkaitan pemburuan terhadap harimau sebaliknya spesis itu masih terjaga di Kelantan.

“Undang-undang terhadap pemburuan haram sudah ada, setakat ini tiada laporan mengenai pemburuan membabitkan harimau. Jadi keselamatan harimau masih terjaga,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/1/2022

- Advertisement -