Terengganu realisasi 90 peratus manifesto PRU14

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU:
Setelah tiga tahun lebih PAS kembali mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pencapaian kerajaan Terengganu begitu membanggakan. 

Sehingga kini kerajaan negeri yang diketuai Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merealisasikan hampir 90 peratus janji manifesto PRU14.

Pada persidangan Belanjawan Terengganu 2022, kerajaan negeri meluluskan bajet berjumlah RM1.657 bilion berbanding RM1.375 bilion pada 2021.

Bajet bertema ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ bajet itu dilulus pada persidangan Dun pada 15 November lepas.

- Advertisement -

Bajet Terengganu 2022 memperuntukkan program pembangunan sebanyak RM600 juta dan RM40 juta untuk projek bekalan air. Manakala anggaran hasil RM1.507 bilion iaitu RM61.02 juta hasil cukai, RM157.49 juta basil bukan Cukai dan RM1.28 bilion terimaan bukan hasil termasuk royalti petroleum.

Belanjawan 2022 turut memperuntukkan bantuan Dana Raya i-Fitri bagi isi rumah terjejas dalam kalangan B40 dan sebahagian M40 yang dapat dimanfaatkan 115,000 penerima.

Bantuan i-Fitri itu bernilai RM400 kepada keluarga miskin dan RM250 kepada isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan.

Selain itu, bantuan one-off bernilai RM150 kepada 6,000 isteri ketua isi rumah e-Kasih dan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah RM2,500 sebulan.

Seramai 8,900 orang kelainan upaya (OKU) yang isi rumah berpendapatan RM4,000 dan ke bawah pula akan menerima bantuan tunai one-off bernilai RM150 seorang.

Manakala bagi menghargai peranan 150 imam dan bilal di bawah Skim Mubaligh, bantuan tunai ‘one-off’ berjumlah RM150 sebagai tambahan atas pemberian sebanyak RM500 oleh kerajaan Persekutuan.

Nasib 70 pelajar yang menjadi yatim piatu akibat pandemik Covid-19 sumbangan RM500 disediakan untuk mereka dalam bentuk tunai dan caruman tabung pendidikan.

Kerajaan negeri juga menganjur Festival Bulan dikenali sebagai Festival Mid-Autumn atau ‘Mooncake’ yang disambut masyarakat Cina pada September.

Program itu dikendalikan di bawah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat.

Sebanyak 500 kotak kuih bulan dan 200 nasi bungkus percuma diagihkan kepada penduduk di Dun Chukai.

PAS sejak awal lagi mengajak seluruh rakyat Malaysia menjaga dan memelihara serta menghormati kepelbagaian kaum yang ada di negara ini selaras konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Adun Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi pula mengambil inisiatif bersama Majlis Tindakan Dun (MTD) Batu Burok membina rumah baharu kepada mangsa kebakaran bernilai RM50,000.

Mangsa yang merupakan ibu tunggal, Hasnah Yahya, 48, sebelum ini kehilangan tempat tinggal bersama lima anaknya, apabila rumah pusaka keluarga terbakar di Kampung Kuala Ibai Pantai.

Polemik politik

Bagaimanapun di sebalik kejayaan kerajaan negeri, desas-desus yang berlegar di media sosial kononnya, menteri besar akan ‘bertukar’.

Kemunculan Dr Ahmad Samsuri di majlis-majlis awam sekali gus ‘mematikan’ berita kosong itu yang disifatkan berupa fitnah.

Dalam isu yang sama, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim pula membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, kerana laporan sebuah portal mengaitkan namanya sebagai orang ‘tengah’ dalam isu Menteri Besar Terengganu dengan pihak istana.

Kerajaan Terengganu juga serius menangani isu pencerobohan bot nelayan asing terutama daripada Vietnam. Sehingga sekarang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menenggelamkan sejumlah 108 bot nelayan asing dengan anggaran nilai RM162 juta, sebagai tukun di sepanjang perairan negeri itu.

Program pelupusan bot tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Taman Laut serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT).

Kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan geran ‘one off’ kepada 1,050 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri itu yang berjumlah RM4.2 juta.

Bantuan tersebut dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti kebajikan serta keperluan setempat di kampung masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim berpuas hati dengan khidmat dan kepimpinan JPKK.

Pusat dadah holistik

Manifesto PRU14 untuk mewujudkan sebuah Pusat Pemulihan Dadah Secara Holistik kini menjadi kenyataan. Pusat pemulihan dadah terbabit dikendalikan di bawah Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan ditempatkan di perkampungan Darul Barakah (PDB).

Pusat pemulihan berkenaan mula beroperasi 15 Jun 2021 di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih, Kampung Temala, Pengkalan Berangan.

Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.33 juta kepada Terengganu pada 2021 bagi pelaksanaan Program Kebuniti 2.0. Program Kebuniti mula diperkenalkan pada 2020, di mana Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM250,000.

Konsep program Kebuniti mengguna pakai kaedah penanaman konvensional, sistem hidroponik dan fertigasi. Peningkatan peruntukan sehingga 180 peratus menunjukkan kerajaan Persekutuan memberi sokongan dan galakan pengisytiharan Tahun Pertanian Terengganu 2021.

Golongan sasar program terbabit ialah belia, NGO, perumahan bandar dan pinggir bandar, institusi kerajaan, swasta dan komuniti luar bandar. Projek Kebuniti dilaksanakan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Sempena Tahun Pertanian Terengganu 2021, seramai 2,500 pemohon dan 55 komuniti di seluruh negeri tersebut mendapat manfaat menerusi program Kebuniti 2.0 melalui pengagihan kit pertanian bandar.

Pasar raya Wakaf Ummah

Lajnah Ekonomi Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS sedang giat memaju dan membangun projek hartanah wakaf yang pertama di Malaysia. Daerah di Dungun menjadi pilihan projek berkenaan.

Projek pembinaan Pasaraya Ummah dipengerusikan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Pasar raya Wakaf Ummah akan memberi banyak manfaat khususnya penduduk di Dungun, dijangka akan mewujudkan 500 peluang pekerjaan serta melahirkan 100 usahawan.

Projek itu dilancarkan pada 11 September 2018 oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Dalam tempoh tiga tahun kutipan dana wakaf Pasaraya Ummah berjaya dikumpul sebanyak RM3.6 juta.

Kerajaan Terengganu juga akan membangunkan projek penanaman rumput napier bagi tujuan pengeluar pulpa dan bekas makanan di Dungun dan Kemaman, dengan keluasan 10,000 ekar dengan jumlah pelaburan RM400 juta.

Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat Regu Yakin Sdn Bhd, bagi projek penanaman rumput napier.

Projek yang diusahakan itu dijangka mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 2,000 penduduk tempatan. Kilang yang akan dibina menggunakan teknologi China.

Kilang tersebut memproses napier untuk dijadikan pulpa dan juga bekas makanan. Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dan Regu Yakin Sdn Bhd diadakan 13 Oktober lepas.

Lima projek RMK12

Lima projek berskala besar yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi di Terenggannu.

Antara projek tersebut ialah Taman Industri Polimer di Kertih di samping Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu di Kemaman, pemuliharaan muara sungai di Besut, Dungun dan Setiu serta projek tebatan banjir di Kuala Terengganu Utara.

Beberapa projek sedia ada pula akan diteruskan seperti projek menaik taraf jalan Persekutuan FT237 (dari susur keluar Chukai menuju ke FT003) di Lebuh Raya Pantai Timur II (LPT2) Kemaman dan projek jalan raya Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang.

Tidak ketinggalan juga komitmen kerajaan negeri menyelesai dan mengembalikan semula ribuan lot tanah pertanian dan perumahan terkilan kepada peserta atau waris terdekat selepas PRU14.

Antaranya seramai 44 pemohon Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian dan Perumahan Paroh/Padang Tapong di Dun Jerteh, menerima geran hak milik masing-masing.

Seramai 373 peserta dikembalikan semula hak tanah tersebut setelah hampir 20 tahun dalam penantian. Ketika kerajaan PAS mentadbir Terengganu 1999-2004, ribuan lot tanah RTB pertanian dan tapak rumah disediakan dan sebahagian diagihkan kepada peserta.

Sehubungan itu, kerajaan negeri memohon maaf atas kelewatan mengagihkan geran tanah kerana pemilikan tanah yang dicadangkan ditukar status selepas PAS tewas pada PRU 2004.

Produk pelancongan komuniti

Kerajaan Terengganu akan mempergiatkan sektor pelancongan melalui produk tempatan berasaskan komuniti di 39 lokasi di seluruh negeri dengan peruntukan RM1 juta.

Kerajaan negeri mengagihkan peruntukan ke lokasi terpilih termasuk di Kampung Pulau Serai kerana menawarkan perkhidmatan teksi air oleh penduduk setempat bagi menelusuri Sungai Dungun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri akan memastikan setiap lokasi menarik di Terengganu tidak akan terbiar.

Kerajaan negeri meluluskan RM35,000 kepada Pejabat Daerah Dungun bagi melaksanakan program pengindahan di lokasi pelancongan tersebut. Pulau Serai turut menjadi tumpuan di waktu petang dengan perkhidmatan teksi air.

Sejumlah RM70 juta setahun diperuntuk kerajaan Terengganu bagi menjaga kebersihan kawasan di seluruh negeri. Kerajaan negeri juga sentiasa menyokong sebarang usaha yang dijalankan NGO dan sukarelawan dalam melaksanakan tanggungjawab kebersihan persekitaran.

Ini selari dengan Dasar Kebersihan Negara yang dilancarkan pada 21 Februari 2019 oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara bersih.

Sebanyak 13 NGO dan sukarelawan kebersihan menerima sumbangan insentif bagi menggalakkan aktiviti menjaga kebersihan.

Insentif itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak pada 3 November lalu. – HARAKAHDAILY 12/1/2022

- Advertisement -