Sambutan hambar AFCON 2021: Bukti minda masih dijajah

KETIKA Kejohanan Bola Sepak Eropah UEFA 2020 (2020 UEFA European Football Championship) atau Euro 2020 pada bulan Jun dan Julai tahun lepas, peminat-peminat bola sepak negara kita dilanda demam bola sepak dengan tumpuan diberikan kepada kejohanan 4 tahun sekali tersebut. Perlawanan-perlawanan telah disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen dan ramai yang sanggup bersesak di restoran-restoran dan warung-warung untuk menyaksikannya. Tidak kurang ramai juga yang berjaga malam untuk tidak ketinggalan menyaksikan saingan pasukan-pasukan Eropah itu.

Ketika ini sedang berlangsung kejohanan yang serupa untuk negara-negara Afrika yang dikenali sebagai Piala Negara-negara Africa 2021 (Africa Cup of Nations 2021) atau AFCON 2021. Perlawanan pertama telah berlangsung pada 9 Januari dengan tuan rumah Cameroon mengalahkan Burkina Faso 2-1 sementara perlawanan akhir adalah pada 6 Februari. Walau bagaimanapun perhatian yang diberikan oleh media dan peminat bola sepak tidak seperti Euro 2020. Adakah ini disebabkan mutu bola sepak pada AFCON 2021 dijangka kurang berkualiti atau kurang menarik berbanding Euro 2020?

Advertisement

Sudah tentu ini tidak benar kerana pemain-pemain yang akan bermain pada AFCON 2021 adalah di antara pemain-pemain penting kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dan liga-liga utama yang lain di Eropah. AFCON kali ini berlangsung ketika saingan liga-liga di Eropah sedang rancak dan ini telah menimbulkan masalah kepada kelab-kelab yang terpaksa melepaskan pemain-pemain mereka ke Cameroon. AFCON siri sebelum ini iaitu pada tahun 2019, telah berlangsung pada bulan Jun dan Julai tetapi ia tidak dapat diadakan pada bulan-bulan tersebut di Cameroon oleh kerana musim hujan di sana. Akhirnya ia telah dipindahkan ke bulan Januari dan Februari walaupun kurang 12 bulan dari Piala Dunia FIFA di Qatar.

Di antara pemain-pemain EPL yang terlibat dengan AFCON 2021 adalah Mohamed Salah (Mesir), Naby Keita (Guinea) dan Sadio Mane (Senegal) dari Liverpool, Thomas Partey (Ghana), Mohamed Elneny (Mesir), Pierre Emerick Aubameyang (Gabon), Nicolas Pepe (Ivory Coast) dan Omar Rekik (Tunisia) dari Arsenal, Eric Bailly (Ivory Coast), Amad Diallo (Ivory Coast), Hannibal Mejbri dan (Tunisia) dari Manchester United, Edouard Mendy (Senegal) dari Chelsea, Riyad Mahrez (Algeria) dari Manchester City dan Said Benrahma (Algeria) dari West Ham.

Secara keseluruhan bilangan pemain-pemain kelab EPL yang terlibat dengan kejohanan tersebut adalah Arsenal 5 pemain, Aston Villa 2 pemain, Brentford 3 pemain, Brighton 1 pemain, Burnley 1 pemain, Chelsea 1 pemain, Crystal Palace 4 pemain, Everton 1 pemain, Leceister 4 pemain, Liverpool 3 pemain, Manchester City 1 pemain, Manchester United 3 pemain, Southampton 1 pemain, Watford 4 pemain, West Ham 1 pemain dan Wolverhampton 2 pemain.

Untuk AFCON kali, pasukan-pasukan pilihan adalah juara bertahan Algeria dengan Riyad Mahrez, Senegal dengan Sadio Mane dan Mesir Mohamed Salah. Berdasarkan pemain-pemain bertaraf bintang yang terlibat, kejohanan kali ini adalah setanding dengan Euro 2020. Bola Sepak Afrika telah melangkah jauh ke hadapan wakil Afrika diberikan automatik ke Piala Dunia FIFA dalam tahun 1970. Pada piala dunia sebelum itu, tahun 1966 di England, wakil Afrika dan wakil Asia terpaksa berentap untuk 1 slot ke kejohanan tersebut. Akibatnya negara-negara Afrika telah memboikot pusingan kelayakan.

Di antara bintang-bintang yang dijangka menyerlah selain dari bintang-bintang EPL seperti Mahrez, Mane dan Salah adalah Achraf Hakimi (Maghribi / Paris Saint-Germain), Abdou Diallo (Senegal / Paris Saint-Germain), Andre-Frank Zambo Anguissa (Cameroon / Napoli), Musa Barrow (Gambia / Bologna) dan Odilon Kossounou (Ivory Coast / Bayer Leverkusen).

Seperti AFCON siri lepas, 24 pasukan akan bertarung di dalam 6 kumpulan. Johan dan Naib Johan kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati bersama 4 pasukan tempat ketiga yang terbaik. Tuan rumah Cameroon berada di dalam Kumpulan A bersama-sama Cape Verde, Burkina Faso dan Ethiopia. Senegal dengan Mane dan Mendy berada di dalam Kumpulan B bersama-sama Guinea, Malawi dan Zimbabwe. Gabon dengan Aubameyang sebagai ketua pasukan berada di dalam Kumpulan C bersama-sama Maghribi, Comoros dan Ghana. Mesir dengan Salah perlu berhadapan dengan Nigeria, Sudan dan Guinea-Bissau di dalam Kumpulan D. Mahrez dan Algeria akan berhadapan dengan Sierra Leone, Equitorial Guinea dan Ivory Coast pula di dalam Kumpulan E. Sementara kumpulan F terdiri dari Tunisia, Mali, Mauritania dan Gambia.

Justeru itu AFCON menjanjikan saingan yang menarik tetapi penerimaan para peminat dan stesen-stesen televisyen di Malaysia adalah agak hambar berbanding dengan Euro 2020. Tidak ada siaran langsung seperti kejohanan di Eropah itu atau liputan media yang meluas. Jika peminat bola sepak di Malaysia begitu fanatik mengikuti perkembangan kelab-kelab EPL tetapi amat menghairankan ramai yang tidak mengikuti perkembangan negara-negara yang diwakili oleh bintang kelab-kelab itu. Adakah ini disebabkan kita memandang rendah kepada Afrika dan hanya memandang tinggi kepada segala-galanya dari Eropah? Adakah pemikiran kita masih dijajah?

AFCON 2021 juga telah mencetuskan kontroversi di Eropah apabila terdapat pengurus kelab yang berkeberatan untuk melepaskan pemain-pemain mereka di samping memandang rendah terhadap kejohanan tersebut. Media melaporkan Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menganggap AFCON sebagai ‘little tournament’ atau ‘kejohanan kecil’ walhal ia adalah kejohanan bola sepak ketiga paling penting di dunia. Jika Euro 2020 boleh berlangsung di 11 bandaraya ketika pandemik COVID-19 memuncak, tidak ada pihak yang perlu bimbang keselamatan pemain-pemain pada AFCON 2021 kerana situasi pandemik di Afrika tidak seburuk di Eropah. Mungkin hanya prejudis yang menyebabkan timbul kegusaran di kalangan kelab-kelab Eropah.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 12/1/2022

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100000270189106/posts/5079703365381953/