Polis pergiat operasi, pantau penjualan sijil vaksinasi palsu

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiat operasi dan pemantauan secara menyeluruh dalam mengesan pihak disyaki terlibat dengan sindiket penjualan sijil vaksinasi palsu di seluruh negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau tidak menolak kemungkinan sindiket sedemikian wujud di negeri-negeri lain.

Advertisement

“Oleh demikian, saya telah mengarahkan ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kontinjen negeri melalui Pengarah JSJ Bukit Aman (Datuk Seri Abd Jalil Hassan) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (Datuk Mohd Kamarudin Md Din) untuk menjalankan risikan.

“Risikan berkenaan adalah untuk mengesan sama ada terdapat lagi perkara sama (kes penjualan sijil vaksinasi palsu) berlaku di tempat-tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penjualan sijil vaksinasi palsu di Marang, Terengganu selepas hadir ke program pendidikan dan kemahiran awal murid autisme di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini.

Acryl Sani berkata setakat ini, PDRM hanya mengesan satu kes berkenaan berlaku di Marang, Terengganu.

“Siasatan polis Terengganu mengesan sindiket berkenaan yang dilakukan oleh seorang suspek lelaki dan kami masih sedang mengesan jika ia berlaku di negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata PDRM memandang serius mengenai sindiket penjualan sijil vaksinasi palsu kerana ia menghalang usaha kerajaan untuk mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

“PDRM tidak mahu melihat usaha dan langkah kerajaan melakukan pencegahan ini terhalang oleh kerana tindakan segelintir pihak yang menggagalkan usaha itu, selain tindakan mereka mampu menggugat imej negara,” katanya.

Pada Isnin lepas, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa mengesahkan seorang lelaki yang juga doktor berusia 51 tahun ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

Suspek berkenaan direman selama tiga hari bermula Sabtu hingga semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan. – BERNAMA