PM Sweden dikritik menggaji pembersih rumah tiada permit

- Advertisement -

STOCKHOLM: Perdana Menteri Sweden, Magdalena Andersson dikritik kerana menggaji pendatang tanpa izin sebagai pembersih rumahnya.

Andersson, 54, yang sebelum ini telah meminta dasar lebih ketat mengenai pendatang asing tanpa dokumen sah, berkata, beliau sebenarnya telah ditipu oleh sebuah syarikat perkhidmatan pembersih kediaman yang tidak bertanggungjawab.

“Kita yang mahu melakukan perkara yang betul boleh jatuh ke dalam kesalahan angkara pengendali yang licik ini,” katanya kepada akhbar Expressen Sweden

- Advertisement -

Insiden itu berlaku pada bulan lalu tetapi hanya dilaporkan oleh media Sweden pada hujung minggu ini.

Pihak polis tiba di kediaman Andersson dekat sini selepas sistem penggera berbunyi secara tidak sengaja sebelum menemui seorang wanita Nicaragua berusia 25 tahun tanpa permit sah dan mempunyai perintah pengusiran di bawah namanya, lapor BBC.

Selain mencetuskan perdebatan mengenai pekerja tanpa izin, kejadian itu menarik perhatian tentang langkah keselamatan Andersson yang tinggal di kediaman rasmi khusus untuk Perdana Menteri di ibu negara Sweden itu.

Terdahulu, Andersson mencipta sejarah pada November 2021 apabila dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama Sweden, namun meletak jawatan beberapa jam selepas itu sebelum kembali menjawat jawatan tersebut seminggu kemudian.

Beliau telah meletakkan tiga keutamaan untuk tempoh perkhidmatannya, iaitu kebajikan sosial, memerangi perubahan iklim dan memerangi peningkatan keganasan, terutamanya akibat jenayah terancang.

Andersson berkata dalam ucapannya sebelum ini bahawa semua orang di Sweden harus mengambil tanggungjawab peribadi untuk memerangi jenayah terancang, dan beliau juga ada  menyebut tentang isu pendatang tanpa izin.

“Saya ingin menggesa majikan Sweden bahawa sebelum membawa masuk pekerja berkemahiran rendah dari negara lain, ingat bahawa terdapat ramai penganggur jangka panjang di Sweden yang tidak mahu apa-apa selain mencari pekerjaan.

“Apabila semua masyarakat bergerak, inilah masanya kita boleh membina semula keselamatan Sweden bersama-sama,” katanya. – Agensi

- Advertisement -