PETRONAS sumbang oksimeter kepada negeri Pantai Timur

KOTA BHARU: PETRONAS menyumbang sejumlah 1,500 unit alat yang digunakan bagi mengukur tahap oksigen dalam darah atau oksimeter nadi kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata sumbangan itu, yang membabitkan nilai lebih RM100,000 adalah sebahagian komitmen berterusan pihaknya dalam usaha membendung penularan COVID-19.

Advertisement

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,000 unit diberikan kepada Terengganu manakala Kelantan dan Pahang masing-masing menerima 250 unit bagi menyokong usaha Kementerian Kesihatan menangani wabak tersebut.

“Sehingga kini, PETRONAS telah menyumbang lebih RM100 juta dalam bentuk wang tunai, peralatan perubatan dan peralatan perlindungan diri kepada barisan hadapan sepanjang pandemik yang melanda negara sejak dua tahun lepas,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Che Ahmad Tarmizi menyerahkan sumbangan oksimeter nadi untuk Kelantan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Zaini Hussin dalam majlis ringkas di Kota Darul Naim yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin. – BERNAMA