Lebih baik promosi nilai keluarga Islam di Tiktok

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Masyarakat sekarang dianggap semakin hilang sifat malu yang sepatutnya menjadi perisai maruah seorang Muslim dalam melayari bahtera rumah tangga.

Pengarah Ameerah Perlis Puteri Fatin Nasyuhada Megat Mohamad Halim berkata, budaya Unboxing by Husband di aplikasi Tiktok tidak seharusnya menjadi satu perkara yang dibanggakan.

- Advertisement -

Katanya, ia boleh menjadi punca saluran fitnah dalam masyarakat.

“Sedangkan Islam sangat memulia dan mengangkat maruah seorang wanita. Malah, para suami pula berperanan melindungi dan memelihara maruah seorang isteri,” katanya di sini.

Beliau diminta respon mengenai budaya Unboxing by Husband di aplikasi Tiktok yang diviralkan sekarang. Ia melibatkan pasangan suami isteri yang baru berkahwin.

Menurut Puteri Fatin Nasyuhada perkara seperti itu tidak seharusnya dijadikan trend atau budaya yang bukan sahaja akan menjatuhkan maruah diri sendiri malah agama Islam.

“Budaya ini kononnya untuk meramaikan pengikut di Tiktok sehingga mengundang komen-komen nakal dan lawak lucah.

“Tidak perlu kita menggadaikan sifat malu hanya semata-mata untuk meraih populariti dan menjadi pencetus kepada perbuatan mungkar yang dilaknat Allah,” tegasnya.

Oleh itu, beliau menyeru semua pihak memainkan peranan dengan mempromosi nilai keluarga Islam terutamanya menggunakan media sosial. – HARAKAHDAILY 12/1/2022

- Advertisement -