Kompleks Tarbiah Darul Ansar jadi pusat sehenti

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

BERMULA
dengan hanya mengedarkan makanan kepada pengguna jalan raya yang terkandas berikutan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ditenggelami air banjir pada 2014, kini Kompleks Tarbiah Darul Ansar, Lanchang menjadi pusat sehenti bagi pengguna lebuh raya dan penduduk setempat.

Kompleks Tarbiah Darul Ansar mula dibuka pada tahun 2001. Ia merupakan kompleks pendidikan yang terdiri daripada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Kelas Asas Fardhu Ain sebelah malam.

Terdapat kuliah-kuliah yang berlangsung sebagai pengisian untuk warga emas yang menetap di sini. Ia umpama pondok moden khusus untuk ibu tunggal.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Kompleks Tarbiyah Darul Ansar, Hasan Omar, semasa tragedi banjir 2014 yang melanda Pantai Timur, terutamanya Kelantan dan Pahang, ramai pengguna LPT terperangkap.

Justeru, pengguna akan menggunakan laluan alternatif untuk mengelakkan laluan yang ditenggelami air banjir. Namun, disebabkan Lanchang menjadi sebuah pulau kerana laluan keluar ditenggelami banjir, ramai pengguna terkandas.

Menurut Hasan, bukan hanya pengguna lebuh raya terkandas, bahkan penduduk kampung juga tidak dapat keluar untuk mendapatkan bekalan makanan dari luar.

Daripada situasi itu, Kompleks Tarbiah Darul Ansar mengambil inisiatif menyediakan makanan untuk pengguna lebuh raya terkandas untuk mengisi perut mereka.

“Pada asalnya, cuma masak untuk hantar ke kenderaan, tetapi apabila terlampau ramai yang terkandas, kita mempelawa yang jauh untuk tidur dan makan di sini selama mana jalan keluar tenggelam sehingga mereka selamat untuk keluar.

“Di situlah bermula dan sehingga kini, setiap tahun kita bersedia menerima pengunjung atau mereka yang terkandas. Selalunya, kami akan menerima pengunjung sekitar November dan Disember kerana waktu itu adalah musim banjir,” katanya.

Menurut Hasan, inisiatif itu diambil atas rasa empati kepada mereka yang kelaparan. Daripada peristiwa itu, wujudlah Dapur Rakyat Darul Ansar yang sentiasa beroperasi apabila tiba musim tengkujuh atau banjir.

Lokasinya terletak berhampiran exit Tol Lanchang. Kata Hasan, menjadi kebiasaaan banjir berlaku di antara exit Tol Lanchang ke Karak dan exit Tol Lancang ke Temerloh.

Tambahnya, pengurusan Kompleks Tarbiah Darul Ansar sentiasa memasukan bencana banjir sebagai agenda utama demi meneruskan usaha tersebut.

Menurutnya, kompleks itu dapat beroperasi hasil dari sumbangan orang ramai sejak dahulu lagi.

Katanya, walaupun mereka berdepan masalah kewangan, namun usaha masih diteruskan atas dasar rasa empati kepada pengguna jalan raya terkandas dan penduduk kampung yang kehabisan bekalan makanan akibat banjir.

“Kekangan kewangan memang ada, tetapi oleh kerana ramai sahabat kita yang terkandas, takkan kita hendak tengok begitu sahaja.

“Jadi, apa yang kita lakukan adalah kita minta dahulukan terlebih dahulu barang ahli kita yang ada di rumah, apa yang ada bawa ke sini dahulu. Ketepikan mengenai kos, dan Alhamdulillah, usaha itu ada sambutan, dan ramai yang membantu,” katanya.

Kata Hasan, Dapur Rakyat Darul Ansar juga akan menyediakan makanan kepada petugas selain daripada mangsa banjir dan pengguna lebuh raya.

Katanya, walaupun terdapat penduduk yang tidak terkena banjir, mereka juga menyediakan makanan untuk mereka kerana memahami mereka kehabisan bekalan makanan.

Pihak Kompleks Tarbiah Darul Ansar akan cuba menyediakan makanan mengikut bahan tersedia dan pihaknya akan cuba mendapatkan bekalan dari kedai terdekat yang tidak terkesan banjir.

“Kita dapatkan, kumpul duit sama-sama. Antaranya guna dahulu duit bersama, dalam masa sama, usahakan bot yang ada untuk pergi beli dan dapatkan bekalan dari luar.

“Cuma, kalau tiada bot, memang sukar untuk dapatkan bekalan dari luar. Bekalan mentah dari luar memang tak boleh masuk sebab jalan semua tenggelam, jadi kita berdepan tempoh kritikal dalam masa dua hingga ke tiga hari.

“Kemudian, setelah air banjir surut, maka barulah kita dapat banyak menerima bantuan dari luar,” katanya.

Selain kekangan dari aspek kewangan, Kompleks Tarbiah Darul Ansar juga mengalami kekangan dari aspek sumber tenaga dan peralatan.

Katanya, penyelamat sedia ada mengalami kekurangan peralatan untuk menyelamat penduduk kampung sekitar.

Menurut Hasan, bot merupakan kenderaan yang sangat penting untuk memudahkan petugas keluar mendapatkan bekalan makanan.

Katanya, hal ini kerana, setiap kali banjir, penduduk sekitar akan terputus dari hubungan luar dan tentunya bot adalah satu-satunya pilihan untuk meminta bantuan dari luar.

Tempat ini berhampiran dengan Sungai Semantan, antara sungai yang besar yang mengalirkan air ke Sungai Pahang.

“Apabila limpahan Sungai Semantan itu ke jalan raya. Jadi kita terpaksa menggunakan bot, tiada pilihan lain.

“Saya suka untuk sarankan, setiap kampung di sini perlu ada sekurang-kurangnya sebuah bot sebagai persediaan untuk menyelamat.

“Lagi pula, lokasi ini memang dikenal pasti sebagai kawasan banjir. Kita perlu faham pihak yang terlibat seperti Bomba dan lain-lain lagi, mereka juga ada kekangan.

“Berapa sahaja kawasan yang mereka boleh bantu, dalam keadaan sebegitu. Maknanya kita sendiriah yang perlu ada inisiatif di peringkat kampung dan melihat ia sebagai satu perkara yang perlu diusahakan,” katanya.

Selain itu kata Hasan, mereka juga terpaksa berdepan dengan bekalan elektrik terputus apabila banjir.

Katanya, operasi awal pasca banjir adalah kerja-kerja membersihkan rumah yang terkesan banjir, namun ketiadaan elektrik menyukarkan petugas dan orang kampung mencuci kediaman mereka dan premis-premis di sini.

Disebabkan itu kata Hasan, mereka terpaksa menggunakan mesin pam air yang menggunakan petrol yang juga sukar didapati jika stesen minyak turut ditenggelami air.

“Kadang, pam petrol pun tenggelam, tapi itu boleh diatasi dengan bawa dari luar, tiada masalah.

“Apa saya hendak tekankan di sini, apabila bekalan elektrik tiada memang menyukarkan tugas kita kerana kebiasaannya apabila banjir besar, rumah pam juga tenggelam.

“Apabila mesin pam tenggelam banjir dan rosak, ia akan mengambil masa untuk dibaiki. Bayangkan, setiap kali banjir tiada bekalan air,” katanya.

Menurut Hasan, Kompleks Tarbiah Darul Ansar juga memerlukan peralatan seperti pam air memandangkan air adalah elemen penting untuk memasak.

Katanya, walaupun mereka mempunyai pam penyedut air, mereka hanya ada satu dan memerlukan sekurang-kurangnya tiga ke empat set memandangkan banjir berlaku setiap tahun.

Kata Hasan, jika mereka mempunyai peralatan yang lengkap, ia lebih memudahkan petugas menjalankan misi mereka dan membantu mangsa banjir.

Hasan juga bercadang untuk mencari dana bagi mewujudkan tube well untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber air paip.

Katanya, kemungkinan mereka memerlukan sejumlah RM15,000 untuk tujuan itu bergantung kepada kedalaman telaga yang perlu digali.

Sementara itu, kata Hasan, kos yang diperlukan untuk menyediakan makanan berada dalam lingkungan RM10,000 hingga RM30,000 tidak termasuk kos lain, bergantung kepada situasi banjir dan jumlah mangsa terkesan.

Katanya, setakat ini, kompleks itu mempunyai 50 petugas tetap tidak termasuk petugas dan sukarelawan luar yang datang membantu sepanjang misi banjir.

“Kita sediakan makan untuk petugas, kerana makanan adalah satu benda yang penting, kita pastikan mereka dapat bekerja tanpa memikirkan tentang makanan.

“Untuk menjimatkan masa, kita akan hantar makanan ke lokasi petugas bekerja, dan mereka juga tak perlu fikir tentang bagaimana makanan itu akan sampai. Kos ini kita tanggung sekali,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/1/2022

- Advertisement -