Ketua Muslimat sampaikan sumbangan keperluan ibadah

- Advertisement -

TEMERLOH: Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor telah menyantuni para pelajar yang turut terlibat dengan bencana banjir baru-baru ini di Tahfiz Ibnu Soleh, Kampung Sempadan, Lanchang, di sini

Diiringi Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Kawasan Temerloh, Siti Zakiah Derani, beliau membawa beberapa gulung sejadah panjang baharu, 40 naskhah al-Quran, kelengkapan tidur dan kain batik, kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Sumbangan daripada pihak negeri Terengganu itu disampaikan beliau kepada Mudir Tahfiz Ibnu Soleh, Sheikh Muhammad Jihad Sheikh Abdul Rahim setelah dimaklumkan keperluan berkenaan oleh Ketua Muslimat PAS Temerloh, Ustazah Alawiyah Kasdan.

Menurut Sheikh Muhammad, terdapat 20 pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan serta lima guru yang setakat ini belum menerima sumbangan seperti itu melainkan bekalan makanan dan air mineral daripada pelbagai pihak.

Beliau memaklumkan sudah hampir sebulan mereka terputus bekalan air bersih bermula sejak banjir hingga kini, walaubagaimanapun perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak berwajib.

Ustazah Salamiah turut membuat pesanan permaidani bagi kegunaan hamparan di dewan pelajar perempuan dari sebuah kedai di bandar ini yang juga akan memasangnya terus ke institusi pengajian itu.

“Tahfiz tersebut masih memerlukan dua gulung sejadah panjang untuk pelajar lelaki, insya-Allah saya akan ke sana lagi,” kata Ustazah Salamiah.

Walaupun tahfiz ini adalah institusi pendidikan persendirian yang mana kemudahannya selengkap sekolah berasrama yang lainnya, namun ia tetap berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

“Apabila waktu Maghrib, saya melihat pelajar mengambil wuduk dekat kolam di sini dan menurut penjaga ada juga anak-anak yang mandi di kolam. Ini memberi satu didikan yang akan meninggalkan kesan kepada anak-anak.

“Kerana kita tahu pendidikan yang baik itu mestilah rasa susah payah dan menjadikan kita lebih dekat dengan Allah S.W.T serta menjadikan hati kita lebih lembut,” kata Ustazah Salamiah.

Beliau turut memuji disiplin para pelajar yang dilihatnya rapat dengan al-Quran dan menyifatkan perkara itu sebagai keberuntungan buat ibu bapa mereka di mana ia menjadi bekalan saham di akhirat kelak.

Para dermawan turut dialu-alukan membantu pusat tahfiz ini di mana sebarang sumbangan boleh terus ke dalam akaun Maybank Tahfiz Integrasi Ibnu Soleh 5560 8405 6423. – HARAKAHDAILY 12/1/2022

- Advertisement -