Kelantan hargai peranan petugas media

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menghargai peranan media melaporkan mengenai projek infrastruktur berimpak tinggi yang sedang rancak dilaksanakan di Kelantan sekarang.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, hasil pendedahan media membolehkan seluruh rakyat dan masyarakat luar tahu kemajuan di Kelantan.

“Kerajaan negeri amat menghargai peranan pengamal media elektronik dan cetak dalam membantu menyebarkan maklumat tersebut,” katanya pada program mahabah bersama petugas media di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Program tersebut dianjur Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN). Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Ahmad juga berkata, Kelantan sekarang sedang pesat membangun hasil kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan.

Sementara itu Pengarah UPKN Ahmad Fathan Mahmood berkata, program tersebut diadakan bagi meraikan petugas media bagi membolehkan mereka mendapat maklumat secara langsung daripada kerajaan negeri.

Katanya, hubungan baik kedua-dua pihak secara profesional diharap dapat memberi impak positif kepada kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

“UPKN selaku agensi media rasmi kerajaan negeri mengambil peluang meraikan dan menghargai peranan petugas-petugas media,” katanya pada Malam Mahabbah Media 2022 yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Antara projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di Kelantan sekarang termasuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Projek ECRL membabitkan jarak 43.86 kilometer di Kelantan yang melalui beberapa jajahan termasuk Pasir Puteh, Bachok dan Kota Bharu.

Landasan tersebut menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang melibatkan jarak 665 kilometer akan menyediakan perkhidmatan penumpang dan kargo. – HARAKAHDAILY 12/1/2022

- Advertisement -