14 projek Wakaf Air dilaksana dengan kos RM529,739

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 projek Wakaf Air yang telah berjaya dilaksanakan yang melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM529,739.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, semua kos tersebut dibiayai oleh dana Wakaf Air.

Beliau menyatakan demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya sebagai respons kepada pertanyaan orang ramai mengenai berapa banyak projek Wakaf Air yang telah dilaksanakan.

- Advertisement -

“Semua kos tersebut dibiayai oleh dana Wakaf Air. Sumbangan daripada para pewakaf yang ikhlas mengharapkan redha serta ganjaran daripada Allah, insya-Allah,” ujarnya.

Menurutnya, pada tahun ini, beliau menyasarkan permohonan dan pelaksanaan Wakaf Air akan dipercepatkan.

Ini, ujar beliau agar lebih ramai rakyat yang masih tidak mendapat akses kepada bekalan air awam (off grid) termasuk di Sabah dan Sarawak akan mendapat manfaat.

“Jumlah dana yang disasar untuk digunakan adalah sebanyak RM2 juta, insya-Allah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).

Tabung ‘Wakaf Air’ yang dilancarkan pada 17 Disember 2020 merupakan inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui kerjasama YWM bertujuan menyediakan sumber pembiayaan alternatif projek-projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mampan melalui instrumen wakaf.

Wakaf Air menyediakan platform kepada masyarakat awam, korporat dan pihak swasta untuk turut sama mengambil bahagian berdasarkan kemampuan masing-masing dalam usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan air kepada mereka yang memerlukan melangkaui sempadan agama, kaum dan keturunan.

Wakaf Air merupakan skim berstruktur untuk membolehkan orang ramai melakukan ibadah wakaf dalam sektor perkhidmatan air yang sangat penting dalam kehidupan manusia.

Peringkat awal penggunaan dana Wakaf Air adalah bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil bernilai di bawah RM50,000.00 seperti penggalian perigi, penyelenggaraan dan pembelian alat ganti bagi meneruskan bekalan air bersih dan penyediaan sumber air alternatif.

Sumbangan wakaf itu boleh disalurkan menerusi Sistem Wakaf Tunai Malaysia yang boleh dicapai melalui pautan https://www.ywm.gov.my/wakaf-air. – HARAKAHDAILY 12/1/2022

- Advertisement -