Walaupun bebas bersuara tetapi ada batasnya

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR:
Rakyat berhak mempunyai pandangan tersendiri dan bersuara mengenainya, namun kebebasan bersuara juga mempunyai batasnya.

Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, segelintir rakyat memilih untuk mengadili individu tertentu berdasarkan emosi dan idelogi tersendiri walaupun bukan tugasnya.

Katanya, tindakan itu tidak selari dengan tuntutan Islam yang menuntut penganutnya membuat penelitian terhadap maklumat yang diterima sebelum disampaikan kepada orang lain.

- Advertisement -

“Dari situ kita melihat bahawa kedudukan isu yang dibangkitkan sesuatu pihak, tidak semua boleh diambil kira.

“Ini kerana, kita perlu mengambil kira latar belakang penyampai maklumat, dan meneliti isu itu sebelum mengiktirafnya sebagai maklumat yang tepat,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai tulisan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjudul ‘Apabila Media Menjadi Hakim’.

Menurut Dr Mohd Syakir, segelintir pihak memilih untuk menyebelahi pegangan dan ideologi masing-masing dengan mengabaikan kesalahan yang dilakukan tokoh yang diikuti mereka.

Katanya, pihak berkenaan menyokong individu itu walaupun individu berkenaan telah dijatuhkan bersalah oleh mahkamah.

“Mereka mendakwa hakim tidak adil kerana menyalahkan orang yang tidak bersalah, sedangkan hakim mengadili penghakiman itu dengan pembuktian, dan prosedur lain sebelum membuat keputusan. Sedangkan segelintir pihak hanya mengadili sesuatu isu atas kepentingan peribadi dan juga ideologi masing-masing.

“Kadang-kadang mereka mengadili sesorang itu yang belum disahkan bersalah, tetapi mereka katakan dia bersalah atas sebab individu tersebut berbeza kepentingan dan juga ideologi pemikiran, ini tidak betul,” katanya.

Mengulas lanjut, ujar beliau, menurut Islam, keputusan menentukan individu tersebut bersalah atau tidak terletak atas tanggungjawab hakim.

Katanya, hal ini kerana kewujudan badan kehakiman itu melambangkan keadilan dalam masyarakat.

Justeru, tambahnya jika rasa percaya terhadap badan kehakiman diragui, maka ia dibimbangi akan merosakkan sistem demokrasi yang berpaksikan kepada Perlembagaan.

“Walaupun mereka kata ada hak kebebasan bersuara dalam demokrasi, tetapi ia mempunyai batasnya, tidak sehingga menghilangkan rasa yakin dan percaya kepada institusi perundangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/1/2022

- Advertisement -