Terengganu rangka 22 acara pelancongan, kebudayaan

Ariffin Deraman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu merangka 22 acara utama berkaitan pelancongan dan kebudayaan sepanjang tahun ini, meskipun masih berhadapan dengan situasi penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata antara yang dirancang adalah aktiviti candat sotong yang sangat popular di negeri itu dari April hingga Julai setiap tahun, Festival Kenyir di Tasik Kenyir dan Karnival Kebudayaan Terengganu.

- Advertisement -

“Semua aktiviti ini diharap dapat membantu kami mencapai sasaran kehadiran tiga juta pelancong ke Terengganu pada tahun ini. Diharapkan aktiviti ini kami dapat laksanakan. Tahun lepas pun kami ada buat Calendar of Event (kalendar acara tahunan) tetapi kami tidak boleh buat apa kerana Covid-19 menyebabkan rentas negeri tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ariffin berkata kerajaan negeri akan menyemak semula sasaran kehadiran tiga juta pelancong tersebut, bagi tempoh enam bulan pertama memandangkan negara masih lagi berhadapan dengan penularan Covid-19.

Terdahulu, MoU yang dimeterai hari ini membolehkan pengurusan hotel di bawah Terengganu Inc memberi penempatan latihan kepada pelajar UiTM, selain pihak hotel juga berpeluang menghantar pekerja mereka menyambung pelajaran atau menambah baik kemahiran di universiti tersebut.

Pada majlis tersebut, Terengganu Inc diwakili Presiden dan Pengarah Eksekutifnya Burhanuddin Hilmi Mohamed@ Harun, manakala UiTM Cawangan Terengganu diwakili Rektornya Prof Dr Mazidah Puteh.

Untuk rekod, Terengganu Inc merupakan syarikat induk kepada Hotel Primula Beach dan Hotel Permai di Kuala Terengganu, selain turut menyelaraskan dua lagi hotel di bawah kerajaan negeri iaitu Duyong Marina & Resort dan Hotel Paya Bunga. – BERNAMA