Sikap tunggu lihat punca lambat dapat dos penggalak

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kelantan meneruskan kempen bagi memupuk kesedaran rakyat untuk mendapatkan dos penggalak yang dilihat masih rendah berbanding populasi dewasa di negeri itu 1.2 juta orang.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, tabiat rakyat suka mengambil langkah tunggu dan lihat.

“Kempen ini diteruskan untuk dos penggalak, rakyat kita dahulu pun ketika vaksin dos pertama dan kedua kita menghadapi masalah kerana sikap nak tunggu dahulu.

- Advertisement -

“Akhirnya setelah sekian lama, kita capai juga fasa 4 Pelan Pemulihan Negra biarpun lewat berbanding negeri-negeri lain. Dan sekarang dos penggalak mereka masih ambil sikap serupa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan watikah pelantikan dan angkat sumpah ahli majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini semalam.

Kelantan dan Sarawak pada 3 Januari lalu diumumkan memasuki fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) setelah hampir dua tahun pandemik Covid-19 melanda negara ini.

Dr Izani yang juga Adun Kijang berharap rakyat mematuhi apa sahaja arahan kerajaan bagi memastikan imuniti badan mampu melawan wabak tersebut.

Jelas beliau juga sekarang virus Covid-19 terus mengalami mutasi, di mana terbaharu menular pula varian Omicron.

Malah katanya penyakit tersebut mampu berubah untuk menjadi varian lain pula. – HARAKAHDAILY 11/1/2022

- Advertisement -