Muzium Kelantan pamer koleksi keris 3 tokoh politik

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Muzium Kelantan mempamerkan koleksi keris peribadi milik tiga tokoh politik di negeri ini yang minat menyimpan senjata lama.

Pemimpin terbabit iaitu Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, anggota Exco kerajaan negeri Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman dan Ahli Parlimen Pasir Puteh Dato’ Nik Muhammad Zawawi Salleh.

- Advertisement -

Ketiga-tiga tokoh terbabit mempunyai minat yang mendalam dalam seni persenjataan Melayu, malah pameran tersebut memperagakan lebih 30 keris setiap seorang.

Pengarah Muzium Kelantan, Ahmad Shargowi Derahman berkata, pameran yang bermula 15 Disember tahun lalu itu, dibuka selama tujuh hari seminggu sehingga 15 Februari depan.

Katanya, kira-kira 100 keris diperagakan selama dua bulan bagi tontonan pengunjung termasuk simpanan senjata Melayu yang berusia sehingga 80 tahun dan mempunyai warisan pusaka.

“Ini merupakan peluang terbaik bagi masyarakat dan pengemar keris untuk datang melihat sebab sebelum ini kalau nak lihat koleksi seperti ini, kena berkunjung ke kediaman mereka.

“Pameran ini kita anjur untuk berkongsi dengan orang ramai yang minat dengan senjata lama. Apabila datang ke Muzium mereka boleh melihat dan menilai sendiri koleksi tersebut,” katanya ketika ditemui pada pameran tersebut di sini hari ini.

Terdahulu Mohd Amar meluangkan masa meninjau pameran tersebut. Turut hadir Md Anizam yang juga Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Dato’ Mejar Ab Rahman serta Adun Tawang Dato’ Hassan Mohamood. – HARAKAHDAILY 11/1/2022

- Advertisement -