Mencari tanda dicintai Allah

BARANGKALI ada yang mengukur tanda cinta Allah pada dirinya dengan berasaskan parameter pencapaian-pencapaian dunianya. Sedangkan dunia ini diberi pada semua, baik yang diredhai atau dimurkai.

Advertisement

Sabda Rasulullah S.A.W:

إن الله يعطي الدنيا من يحب ومن لا يحب ولا يعطي الدين إلا من يحب

“Sesungguhnya Allah memberi dunia kepada mereka yang dicintai-Nya dan juga kepada yang dibenci-Nya. Tetapi Dia tidak memberi nikmat agama ini (Islam dan iman), kecuali hanya pada orang yang Dia cintai.”

(Hadis Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak)

Imam adz-Dzahabi merumuskan sanadnya sahih.

Betulkan semula tetapan minda kita, bentuk semula cara berfikir yang benar. Nikmat hidup beragama adalah tanda aras kita dikasihi Allah.

Utamakan iman, lalu jika dikurniakan pakej harta dunia pun kita tetap beruntung. Jadi orang kaya yang beriman. Suka keluarkan zakat dan bersedekah.

Jangan tertipu dengan nikmat kurnia atau bala musibah. Kaya belum tentu dikasihi, miskin pun belum tentu diredhai. Pokok pangkalnya iman.

SOFIA ALWANI ALI

Sumber asal: https://www.facebook.com/100000386455844/posts/4927749650581201/

Tanda seseorang dicintai oleh Allah

Kita bukan Rasul, dapat langsung berbicara dan berkomunikasi dengan Allah. Tetapi kita sudah diberikan Al-Quran dan Al-Sunnah yang sudah mencukupi untuk menjadi petunjuk.

Petanda seseorang itu dicintai oleh Allah sudah dinyatakan di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah.

Antaranya melalui firman Allah S.W.T:

فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ

“… maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela…”

(Al-Ma’idah: 54)

Kemudian turut diriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda:

وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُعْطِي الدُّنْيَا مَنْ يُحِبُّ وَمَنْ لا يُحِبُّ وَلا يُعْطِي الدِّينَ إِلا لِمَنْ أَحَبَّ فَمَنْ أَعْطَاهُ اللَّهُ الدِّينَ فَقَدْ أَحَبَّهُ

“Sesungguhnya Allah memberikan dunia kepada sesiapa saja baik orang yang dicintai-Nya atau orang yang tidak dicintai-Nya. Namun Allah tidak akan memberikan agama kecuali kepada orang yang dicintai-Nya. Sesiapa yang diberi agama oleh Allah, maka itu petanda Allah benar-benar mencintainya.”

[Hadis Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh Al-Albani

Dan banyak lagi ciri-ciri lain yang disebut oleh dalil-dalil Al-Quran dan Al-Sunnah. Terpulang, sama ada kita mahu membacanya atau tidak.

EMRAN AHMAD – HARAKAHDAILY 11/1/2022

Sumber asal: https://www.facebook.com/100002857926668/posts/2825801274191776/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.