Kawasan hutan berisiko tinggi dilanda bencana dikenal pasti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) diarah supaya segera mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dilanda bencana di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata langkah itu sebagai tindakan serta-merta untuk mengelakkan insiden lambakan kayu hanyut, puing, gelinciran tanah dan kejadian kepala air di beberapa buah negeri ekoran berlakunya hujan lebat serta banjir besar, baru-baru ini.

- Advertisement -

Beliau berkata setakat ini JPSM telah menggunakan aplikasi sistem Forest Monitoring using Remote System (FMRS) termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara masa nyata.

“Saya juga telah mengarahkan JPSM untuk mengemukakan laporan tersebut serta langkah-langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata JPSM juga diminta mengenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan-hutan lipur yang belum dipasang dengan sistem amaran awal untuk pemasangan segera bagi memastikan kawasan berkenaan selamat kepada penduduk setempat serta orang awam.

Takiyuddin menjelaskan dalam sektor pengurusan perhutanan, dasar Kerajaan Persekutuan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

Beliau berkata SFM merangkumi pelaksanaan sistem tebangan memilih (SMS), Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan persijilan pengurusan hutan berdasarkan Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (MC&I).

“Selain itu, urus tadbir sektor perhutanan dikawal selia melalui Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] dan ordinan atau enakmen perhutanan di negeri-negeri,” katanya.

Takiyuddin berkata kerajaan turut memastikan pengawalan aktiviti pengusahasilan di hutan tanah kerajaan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia bertajuk ‘Panduan Amalan Baik Hutan untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’ pada tahun 2016.

Justeru, beliau berkata Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) komited dalam memastikan kekayaan sumber asli kita terus dijaga, diuruskan secara mampan dan digunakan secara bertanggungjawab. 

“Saya menyeru semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri selaku pengurus sumber asli di peringkat negeri untuk bersama-sama KeTSA memastikan dasar Kerajaan Persekutuan dilaksana dan dipantau demi pembangunan negara yang mampan dan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata tindakan meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41 peratus kepada 50 peratus menjelang tahun 2040, selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat dipersetujui dalam Mesyuarat Pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF) di Putrajaya yang dipengerusikan beliau. – BERNAMA

- Advertisement -