Islam dan sains: Warna-warni tumbuhan

- Advertisement -

ALLAH S.W.T menciptakan tumbuh-tumbuhan dengan pelbagai jenis, warna, dan fungsi untuk dimanfaatkan oleh umat manusia di atas muka bumi ini. Allah S.W.T berfirman dalam Surah al-Zumar 21 yang bermaksud:

- Advertisement -

“Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkan-Nya menjadi mata air – mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanaman-tanaman yang berbagai jenis dan warnanya; kemudian tanaman-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatmu berupa kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.” 

Kepelbagaian warna tumbuh-tumbuhan kelihatan indah dan memberi kedamaian. Namun demikian, apakah sebenarnya yang mempengaruhi warna pada tumbuhan? Secara asasnya warna yang dapat dilihat pada tumbuhan adalah dipengaruhi oleh interaksi antara pigmen dalam sel-sel tumbuhan dengan cahaya. 

Pigmen ialah molekul organik dalam tumbuhan yang menyerap sinaran cahaya. Warna yang dapat dilihat pada tumbuhan adalah hasil daripada penyerapan dan pemantulan terpilih gelombang cahaya dengan panjang gelombang yang tertentu. 

Cahaya putih seperti cahaya matahari sebenarnya mempunyai julat panjang gelombang yang boleh dilihat oleh mata manusia, iaitu spektrum tampak. Warna yang dilihat pada sesuatu tumbuhan bergantung kepada pigmen yang dominan dalam tumbuhan tersebut. 

Contohnya jika klorofil merupakan pigmen yang dominan seperti yang ada pada daun, maka tumbuhan akan memantulkan spekrum warna hijau dan menyerap spekrum warna tampak yang lain lalu menyebabkan tumbuhan tersebut kelihatan berwarna hijau. Pigmen-pigmen selain klorofil pula memantulkan warna yang lain. Pigmen antosianin memantulkan warna merah dan ungu atau biru; antoxantin memantulkan warna kuning; dan karotenoid pula memantulkan warna kuning, jingga dan merah.

Warna-warna tumbuhan yang pelbagai ini sebenarnya bukanlah sekadar kelihatan cantik pada pandangan mata manusia, bahkan mempunyai fungsi penting sebagai penarik ejen penyebar atau ejen pendebungaan yang terdiri daripada pelbagai haiwan dan serangga seperti lebah, rama-rama, burung, monyet dan sebagainya. 

Ejen-ejen ini membantu proses pendebungaan debunga dan penyebaran biji benih untuk tumbuh-tumbuhan tersebut membiak. Maha Suci Allah S.W.T yang tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia, bahkan menciptakan sesuatu itu dengan fungsinya yang tersendiri seperti mana firman Allah S.W.T di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 190 dan 191 yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Teks dan gambar disediakan oleh:

MOHD IZZUDDIN HASANUDIN
Pembantu Penyelidik,
Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, 
Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) – HARAKAHDAILY 11/1/2022

Sumber Asal: https://m.facebook.com/230257855797290/posts/297145622441846

- Advertisement -