DMPNPs, JBS Perlis sepakat tubuh persatuan belia

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR: Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis (DMPNPs) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBS) Perlis mencapai kata sepakat untuk menubuhkan persatuan bagi menggalakkan penyertaan golongan belia di negeri ini dalam aktiviti-aktiviti yang berfaedah buat mereka.

Ketua Penerangan DMPNPs, Husna Hashim berkata, keputusan itu adalah susulan perbincangan selama sejam antara DMPNPs dan JBS Perlis yang diketuai Pengarahnya, Norhazita Kamaludin di Pejabat  Belia dan Sukan Negeri Perlis, di sini, hari ini.

- Advertisement -

“Hasil pertemuan tersebut, kita mencapai kata sepakat untuk menubuhkan persatuan belia bagi menggalakkan penyertaan golongan berkenaan dalam aktiviti-aktiviti belia,” katanya.

Menurutnya, beliau mengucapkan setinggi penghargaan atas kesudian JBS Perlis menerima kunjungan DMPNPs dan berharap kerjasama yang dibina itu dapat diperkukuh lagi dari semasa ke semasa.

Turut hadir pada pertemuan tersebut, Setiausaha DMPNPs, Norhafiza Mansor dan Ketua Ameerah DMPNPs, Puteri Fatin Nasyuhada Megat Mohd Halim.

Menurut Husna lagi, antara lain, matlamat utama kunjungan berkenaan adalah bagi meneroka kerjasama yang boleh dilaksankan antara kedua-kedua pihak ke arah menyemarakkan lagi aktiviti sukan golongan belia di negeri ini.

“DMPNPs dan Ameerah Negeri komited untuk turut serta dalam usaha kerajaan dalam melahirkan golongan belia yang sihat dan cergas fizikal, emosi dan spiritual.

“Oleh itu, sebarang kerjasama bagi merealisasikan matlamat ini amat dinantikan oleh pihak kami,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/1/2021

- Advertisement -