Denda RM80 kerana gagal jelaskan RM50

- Advertisement -

HARI ini dah 11 hari dah kita berada di tahun baru. Pantas masa berlalu. Betullah kata orang dan ustaz-ustaz, dunia akhir zaman memang begitu. Masa itu cepat sangat hilang. Malah dalam dunia akhir zaman ini banyak perkara pelik (tapi benar) yang berlaku.

Semalam tersebar luas laporan akhbar berkaitan seorang wanita didenda RM80 kerana gagal menjelaskan wang dalam akaunnya yang berjumlah RM50. Seorang remaja lelaki mengaku memasukkan RM50 dalam akaun wanita tersebut kerana diugut. Dan, wanita tersebut tidak dapat menjelaskan kedudukan (mungkin dimaksudkan sumber) wang RM50 di dalam akaunnya. 

- Advertisement -

Saya agak lewat membaca keratan berita dari portal Berita Harian tersebut – sekitar jam 12 malam tadi apabila mendapat pesanan dari seorang rakan di akaun Instagram. Ketika mula membaca artikel tersebut saya beristighfar panjang. Hati saya berdetik spontan, ‘Ya Allah, 50 ringgit je pun’. Ditambah pula laporan berita tersebut meletakkan gambar seorang wanita bertudung yang sedang duduk di kerusi. Timbul rasa kasihan. 

Tapi pada masa sama hati saya juga terdetik, ‘kasihan ni kena bertempat, jangan pula berasa kasihan untuk menjatuhkan hukuman Allah sekiranya seseorang itu telah terbukti bersalah’, terutamanya dalam kesalahan berat. Bolak balik hati saya. Terdetik juga, walaupun begitu, ihsan perlu ada – ihsan dan kasihan ini berkaitan – ada elemen persamaan, tapi keduanya tak serupa. Satu lagi, dalam menjatuhkan hukuman, ada konsep taubat dan konsep hak manusia. Ia bukan berkenaan nilai duit atau jumlah wang, tapi nilai manusia dalam diri seseorang. Saya ulas lain kali saja mengenai ini.

Apa pun, hati saya juga terus berdetik, ‘mungkin ramai lagi yang ada jutaan wang yang tidak diisytihar atau gagal memberikan justifikasi kepada jumlah besar wang atau harta yang dimiliki’. Pastinya, secara spontan hati saya pun mengaitkan laporan berita ini dengan berita sepanjang minggu pada peringkat nasional.

Ketika itu, dalam benak hati saya ini, terlintas juga, adakah betul kata orang, seseorang itu didapati bersalah dan dihukum kerana berada pada masa atau tempat yang salah. Ini kerana ramai saja orang yang buat salah, tetapi tidak ditangkap, tidak dibicarakan dan sekali gus tidak dihukum. Perumpamaan mudah, pemandu kereta atau penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat – lampu merah pun dia jalan – orang kata nasib tak baik, kena saman – tapi ramai saja bernasib baik, dan lepas saja.

Apa pun, sebagai pelajar undang-undang, saya harus rasional; suatu kes hendaklah dilihat pada fakta dan meritnya tersendiri, tidak perlu dikaitkan dengan kes atau fakta lain, kecuali keduanya mempunyai fakta yang sama.

Jadi saya tepis lintasan hati itu – kembali rasional, jangan terbawa oleh emosi – ini pujuk dirilah, kawal emosi sebegitu. Pujuk hati, katakan itu cerita lain, tak apalah. Letak jauh-jauh emosi itu. Saya nak lihat undang-undangnya. 

Nasihat saya kepada pembaca pun begitu – lihat undang-undang dalam kes ini dulu; kemudian boleh untuk dilihat adakah penguatkuasaan undang-undang telah mendatangkan keadilan kepada pihak-pihak terlibat, (bukan kepada masyarakat awam). 

Berbalik kepada kes denda RM80 kerana RM50 itu, dalam kes ini, keadilan kepada remaja lelaki yang berusia 16 tahun tersebut perlu diambil berat, begitu juga dengan keadilan kepada tertuduh. Saya seterusnya membaca artikel penuh di portal berita yang lain. Seorang teman saya yang lain mengutuskan link portal Metro.

Setelah membaca pada link Metro, saya faham ringkasan fakta kes. Wanita tersebut dikatakan telah membuat ugutan kepada seorang remaja lelaki berusia 16 untuk menyebarkan video bogel remaja tersebut sekiranya sejumlah wang tidak diberikan (Ini pun saya pelik dengan keadaan sosial pada hari ini. Haisshh… gerunlah). 

Laporan juga menyatakan mereka berkenalan melalui media sosial. Dinyatakan juga dalam laporan berita tersebut kenyataan wanita terbabit bahawa dia telah disiasat beberapa kali berkenaan kes sama dan beliau memohon untuk dijatuhkan hukuman ringan. 

Sebagaimana dilaporkan dalam portal berita Metro, kesalahan yang dituduh ialah gagal memberikan keterangan yang memuaskan berhubung pemilikan wang RM50 dalam akaun beliau. Hukuman maksima bagi kesalahan yang dituduh ialah denda RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali. Berat juga hukuman maksima ini. 

Mungkin RM1,000 tidak begitu besar (bagi sesetengah orang), namun saya percaya, penjara setahun itu adalah amat berat, walau untuk sesiapa jua. Kalau penjara sehari pun dah amat berat dah, bayangkan setahun. Bayangkan pula sekiranya kedua-dua hukuman maksimum itu dikenakan.

Justeru, denda RM80 itu dah kira okay dah untuk kes ini. Pada pandangan saya hakim telah menggunakan budi bicara untuk tidak menjatuhkan hukuman penjara, hanya denda dan jumlahnya hanya RM80, bukan RM1,000 hukuman maksima atau bukan RM800. Ini satu dimensi melihat keputusan hakim dalam kes ini.

Laporan akhbar tidak menyebut seksyen berkaitan, hanya dinyatakan ia adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan Kecil. Bila saya rujuk Akta ini saya dapati seksyen yang mungkin digunakan dalam kes ini ialah Seksyen 29, iaitu seksyen berkaitan pemilikan harta secara curang. Mungkin inilah seksyennya.

Sementara itu kita juga tidak dimaklumkan sama ada wanita tersebut juga dituduh di mahkamah atas tuduhan membuat ugutan ke atas remaja terbabit. Ini kerana kesalahan tidak memberi keterangan yang lengkap mengenai akaunnya, dan perbuatan membuat ugutan adalah dua perbuatan berbeza. 

Keduanya adalah dua kesalahan berbeza. Misalnya seseorang yang dituduh bagi kesalahan mencuri mesin rumput di bawah Kanun Keseksaan, tetapi dia gagal memberikan keterangan jelas di mana mesin rumput tersebut berada. Justeru, di samping dituduh atas kesalahan mencuri di bawah Kanun Keseksaan, beliau juga boleh dituduh bagi kesalahan tidak memberi keterangan jelas berkenaan lokasi mesin rumput tersebut di bawah Akta Kesalahan Kecil. 

Oleh kerana laporan media itu agak ringkas dan banyak persoalan berkaitan perbicaraan, pembuktian dan proses undang-undang yang lain, saya tidak dapat membuat ulasan selengkapnya mengenai kes ini. 

Penulisan ini sekadar mahu berkongsi dengan pembaca dan mencadangkan supaya kita semua melihat kepada undang-undang, amalan dan penguatkuasaannya, sama ada pada peringkat siasatan atau keputusan mahkamah berdasarkan kepada fakta yang dibicarakan – based on the facts of the case at hand.

Pada masa sama saya gembira sekiranya pembaca juga menganalisis laporan ini dengan menilai pencapaian nilai keadilan dalam masyarakat atau negara keseluruhannya. Ini persoalan besar dan berat. Rata-rata apabila melihat komen Netizen kepada laporan media tersebut, terlalu ramai yang mengaitkan keputusan kes denda RM80 kerana RM50 ini dengan kes bersifat nasional dan kepentingan awam. 

Ini mungkin perkara lazim atau lumrah untuk Netizen terus menzahirkan perasaan mereka kerana nilai keadilan itu bukan sekadar untuk pihak-pihak tertentu, tetapi nilai keadilan kepada masyarakat umum atau maruah negara. Hakikatnya dua kes ini berbeza. 

Walaupun keduanya adalah kes berbeza, tapi pastinya dalam kedua-dua kes, keadilan hendaklah dilihat sebagai telah dilakukan. Justeru, pihak bertanggungjawab dan menggalas amanah hendaklah segera bertindak untuk memperlihatkan keadilan dilakukan pada masyarakat. ‘Justice must not only be done, but must also be seen to be done.’ Ini adalah dicta yang begitu popular berasal daripada penghakiman Lord Hewart, yang pada ketika itu adalah Lord Chief Justice of England dalam kes Rex v. Sussex Justices, [1924] 1 KB 256. 

Satu lagi perkara penting untuk kita mendapat penjelasan ialah, ‘Untuk melakukan keadilan, keadilan tersebut hendaklah dilihat sebagai adil dan sekiranya keadilan itu tidak dapat dilihat, maka itu bermakna pelaksanaan keadilan belum sempurna’.

Berkenaan cara media melapor, seorang rakan, yang juga seorang guru menulis pesanan di akaun intagram saya. Tulisnya, antara lain, ‘…u know.. kami ini masyarakat akan baca di paper… Sebab mungkin ada di antara rakyat percaya dengan akhbar… so media kena mainkan peranan yang sangat jujur dan telus untuk smpaikan berita yang benar… yes memang berita itu benar… tapi tajuk itu kadang-kadang over..’…saya fikir bukan cikgu ini seorang saja fikir begitu, jumlah besar lagi… untuk rakan media, sekian.

Saya akan membuat paparan seterusnya berkenaan ‘Undang-undang, Penguatkuasaan, Mahkamah dan Keadilan’.Moga Allah berikan kelapangan masa dan kesihatan rohani dan jasmani. Terima kasih semua kerana membaca dan berfikir.

PROF. MADYA DR. SHAMRAHAYU AB AZIZ
Penyandang Kursi Intitusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA – HARAKAHDAILY 11/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/112974777079782/posts/458403529203570/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -