Covid-19: Situasi terkini kluster libatkan jemaah umrah

- Advertisement -

Oleh TAN SRI DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KEMENTERIAN
Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bermula 25 November 2021 sehingga 11 Januari 2022, terdapat sebanyak 16 kluster melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi. Daripada 16 kluster tersebut, tujuh kluster melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron, enam kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron yang sedang menunggu keputusan Whole Genome Sequencing (WGS), dan tiga kluster melibatkan kes indeks positif Covid-19 bukan varian Omicron.

- Advertisement -

Daripada jumlah kluster tersebut:

• empat kluster melibatkan kes-kes dari negeri Pahang;

• tiga kluster melibatkan kes-kes dari negeri Kelantan;

• tiga kluster melibatkan kes-kes dari negeri Kedah;

• dua kluster melibatkan kes-kes dari negeri Johor;

• satu kluster melibatkan kes-kes dari negeri Sabah;

• satu kluster melibatkan kes-kes dari Wilayah Persekutuan Labuan;

• satu kluster melibatkan kes-kes dari negeri Pahang dan Johor;

• manakala satu kluster lagi melibatkan kes-kes dari negeri Kedah, Selangor, dan Pulau Pinang.

1.   Kluster Keratong 5 Saudi di Rompin Pahang merupakan kluster dengan jumlah kes yang paling tinggi iaitu 36 kes. Kes indeks bagi kluster ini adalah disahkan varian Omicron dengan dua kes jangkitan import dan 34 kes kontak keluarga. Kes-kes dalam kluster ini merupakan ahli keluarga dari negeri Pahang dan Johor dengan kadar positiviti sebanyak 81.8 peratus. Terdapat dua lagi kluster yang melibatkan jemaah umrah dalam daerah yang sama iaitu Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi dan Kluster Keratong 2 Saudi.

2.   Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi melibatkan 9 kes yang terdiri daripada satu kes indeks presumptive Omicron yang merupakan kes jangkitan import dan lapan kes kontak keluarga. Kadar positiviti adalah sebanyak 75 peratus.

3.   Kluster Keratong 2 Saudi pula melibatkan 11 kes di mana dua kes merupakan jangkitan import dan sembilan kes adalah kontak keluarga dengan kadar positiviti kluster sebanyak 78.6 peratus. Walau bagaimanapun, kes indeks dari Kluster Keratong 2 Saudi ini bukanlah kes varian Omicron. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sedang dilaksanakan di Felda Keratong 5, Rompin, Pahang bermula 6 Januari 2022 hingga 19 Januari 2022 untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 kepada komuniti.

4.   Bagi negeri Kelantan, Kluster Chiku 01 Saudi melibatkan 19 kes di mana tiga kes indeks adalah disahkan varian Omicron dengan enam kes jangkitan import manakala 13 kes adalah kontak keluarga. Kadar positiviti kluster ini adalah sebanyak 76.0 peratus.

5.   Kluster Kampung Tok Panjang Saudi pula melibatkan 13 kes jangkitan import dan tiga kes kontak keluarga. Kes indeks untuk kluster ini adalah kes Presumptive varian Omicron dengan kadar positiviti sebanyak 88.9 peratus.

6.   Kluster Jalan 2 Saudi pula melibatkan enam kes di mana satu kes merupakan jangkitan import dan lima kes merupakan kontak keluarga dengan kes indeks bukan varian Omicron serta kadar positiviti kluster sebanyak 66.7 peratus.

7.   Selain daripada itu, Kluster Jalan OKK Awang Besar Saudi dari Wilayah Persekutuan Labuan melibatkan seramai 19 orang dengan 11 kes merupakan jangkitan import dan lapan kes adalah kontak keluarga. Kes indeks merupakan kes Presumptive varian Omicron dengan kadar positiviti sebanyak 12.8 peratus.

8.   Di Sabah pula, Kluster Millenium Saudi melibatkan 18 kes iaitu 13 kes jangkitan import dan lima kes kontak keluarga. Kes indeks adalah kes presumptive varian Omicron dengan kadar positiviti sebanyak 30.5 peratus.

Sebanyak 456 individu telah disaring dalam kluster jemaah umrah ini di mana terdapat 219 kes positif telah dikenal pasti seterusnya menjadikan kadar positiviti sebanyak 48 peratus. Daripada 219 kes tersebut, kesemua kes merupakan kategori 1 dan 2, dan sehingga kini tiada kes yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), serta tiada kematian yang dilaporkan daripada kluster jemaah umrah ini.

Situasi peningkatan kes daripada kluster jemaah umrah yang dilaporkan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat serta penularan daripada kes jangkitan import kepada keluarga berlaku dengan cepat.

Punca penularan kes-kes dari kluster ini adalah disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi SOP di mana pada masa tersebut tiada amalan penjarakan fizikal, tiada kewajiban pemakaian pelitup muka, serta melibatkan jemaah umrah yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Selain itu semasa dikuarantin di rumah selepas pulang dari mengerjakan umrah, terdapat aktiviti yang tidak mematuhi SOP seperti adanya aktiviti kunjung-mengunjung, menziarahi jemaah atau keluarga yang baru pulang dari tanah suci, serta lain-lain lagi.

Oleh itu, buat masa ini kerajaan telah menangguhkan sementara pelaksanaan ibadah umrah oleh rakyat Malaysia untuk memperkemaskan SOP dan memantau kes-kes di seluruh dunia, di Arab Saudi, dan di Malaysia agar penularan Covid-19 khasnya varian Omicron dapat diperlahankan bagi memastikan kapasiti fasiliti kesihatan tidak terjejas.

Adalah menjadi tangungjawab bagi semua pihak untuk sama-sama mematuhi SOP dan melindungi golongan rentan, khususnya orang tua yang uzur, golongan yang mempunyai penyakit kronik, kanak-kanak, serta golongan kurang daya tahan tubuh dengan tidak mendedahkan mereka dengan jangkitan virus SARS-CoV-2 ini.

Oleh itu, rakyat Malaysia digesa untuk sentiasa mematuhi SOP seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan mengamalkan norma baharu serta melaksanakan test, report, isolate, inform, and seek (TRIIS). Daftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 bagi mencapai imuniti yang optimum, seterusnya mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat. – HARAKAHDAILY 11/1/2022

- Advertisement -