PAS Selangor bantu masyarakat Orang Asli

- Advertisement -

BANJIR besar akibat taburan hujan luar biasa di Negeri Selangor bermula 18 Disember 2021 lalu telah membawa kemusnahan besar di beberapa kawasan yang terjejas. Antara yang teruk terkesan adalah di DUN Dusun Tua dalam Parlimen Hulu Langat. 

PAS Negeri melalui Khidmat Malaysia Negeri Selangor dan Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor dengan kerjasama PAS Kawasan-kawasan merupakan antara organisasi terawal yang turun dalam misi menyelamat dan memulihkan mangsa-mangsa serta kawasan-kawasan yang terjejas seluruh Selangor.

- Advertisement -

PAS bukan hanya memberi khidmat dan bantuan kepada ahli-ahlinya, malah telah terjun membantu semua rakyat yang terjejas tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik. 

Antara komuniti yang turut menanggung beban bencana ini adalah masyarakat Orang Asli suku Temuan di Perkampungan Orang Asli Paya Lebar di Sg Lui, dalam DUN Dusun Tua.

Penduduk yang berkampung di kaki bukit ini telah ditimpa musibah banjir dan lebih malang lagi bekalan air bersih semulajadi dari puncak bukit terputus apabila saluran paip air sepanjang hampir dua kilometer telah terputus dihanyutkan oleh kepala air.

Atas makluman PAS Kawasan Hulu Langat, PAS Selangor melalui pelbagai agensinya telah menggerakkan misi bantuan, membekal dan memasang paip baru bagi memastikan bekalan air di perkampungan ini dapat dipulihkan.

Dalam sekelip mata melalui tenaga lebih 300 sukarelawan PAS dengan kerjasama penduduk kampung misi ini dapat dijayakan dalam tempoh sehari. Bekalan air kembali normal.

Pesuruhjaya PAS Selangor YB Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi sendiri bersama pimpinan PAS Selangor serta Yang Dipertua PAS Hulu Langat Tuan Mohd Jan Sulong dan anggotanya telah berhempas pulas menjayakan misi ini. Tenaga bantuan dari PAS Kedah diketuai Dato’ Seri Sanusi Mohd Nor, Menteri Besar Kedah telah meringankan beban menjayakan misi ini.

Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Menteri Air dan Sumber Asli, melalui permohonan NGO Pertubuhan Kebajikan Hulu Langat Sejahtera yang diketuai mantan MP Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat telah meluluskan peruntukan segera bagi membiayai kos misi ini. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing. Berkat kerjasama semua pihak misi ini berjaya dengan pantas.

Sabtu 8 Januari 2022 lepas YB Menteri KASA telah turun merasmikan projek ‘Wakaf Air’ yang disempurnakan oleh misi ini dengan kolaborasi PAS Selangor dan NGO Pertubuhan Kebajikan Hulu Langat Sejahtera. Turut serta pimpinan PAS Selangor dan Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat dan Puan Norazila Zakaria, Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Hulu Langat serta team JKOA Dearah.

Yang penting nasib dan kebajikan masyarakat Orang Asli di Perkampung Orang Asli Paya Lebar yang majoriti merupakan masyarakat bukan-Islam telah terbela.

BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SELANGOR – HARAKAHDAILY 10/1/2022

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=467609678266001&id=100050509178635

- Advertisement -