Kejayaan Pasar Siti Khadijah jadi inspirasi PBT

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Menteri Besar memuji dengan komitmen Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) terhadap kempen Kelantanku Bersih dilancarkan lima tahun lalu.

Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, usaha tersebut diterjemahkan menerusi kejayaan Pasar Besar Siti Khadijah dinobatkan sebagai johan kategori ‘Pasar Awam Terbersih 2021’ di Malaysia.

- Advertisement -

Malah menurutnya lagi, status itu mampu dijadikan inspirasi kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk terus berusaha menjadikan kebersihan dan keceriaan sebagai keutamaan.

“Apabila kita betul-betul bersungguh-sungguh nak mencapai kejayaan sesuatu program atau dasar yang dilaksanakan, kita akan capai juga contoh Pasar Besar Siti Khadijah ini.

“Perubahan ini akan turut berlaku majlis daerah lain pula,” katanya selepas majlis penyerahan watikah pelantikan dan angkat sumpah ahli majlis MPKB-BRI di Dewan Bunga Emas Hotel Perdana di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Seramai 24 orang iaitu 19 muka lama dan lima muka baru menerima watikah perlantikan itu yang disampaikan oleh Menteri Besar.

Pasar Besar Siti Khadijah dinobatkan sebagai johan kategori Pasar Awam Terbersih, manakala program Kempen Pembasmian Denggi di Kampung Wakaf Stan pula naib johan kategori Kempen Membasmi Denggi.

Majlis Anugerah yang berlangsung di Dewan Kristal, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, di Putrajaya baru-baru ini dirasmikan Menterinya, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican.

Majlis yang diadakan sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 itu menyaksikan 105 PBT seluruh negara menyertai pertandingan empat kategori itu. – HARAKAHDAILY 10/1/2022

- Advertisement -