Berjiwa besar dalam usaha menyatukan umat Islam

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Amilin PAS di setiap peringkat perlu berjiwa besar dalam usaha menyatukan umat Islam seluruhnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, usaha mempertahankan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN) perlu didukung selaras dengan tema Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 iaitu Islam Menyatukan Ummah.

“Tuan Guru Presiden sentiasa menyebut berkenaan kewajipan menyatupadukan umat Islam dan masyarakat majmuk di negara ini.

- Advertisement -

“Bahkan usaha ini sememangnya perintah kepada kita yang disebut oleh Allah SWT dalam Al-Quran,” katanya pada program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat Negeri Perlis, di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) di sini hari ini.

Oleh itu, tegasnya, sebarang isu yang mendatang tidak akan menjadi penghalang dalam usaha penyatuan itu.

“Oleh itu, ahli PAS perlu berjiwa besar dan bersungguh-sungguh serta bersabar dalam menghadapi suasana yang ada pada hari ini.

“Kita mengutamakan pendekatan secara pendamaian, tanpa perlu mana-mana pihak untuk menunjukkan kekuatan masing-masing.

“Menjadi kewajipan kepada kita untuk hadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) nanti dengan usaha perpaduan yang dilakukan pada hari ini,” ujarnya.

Program tersebut dihadiri kepimpinan PAS di peringkat Badan Perhubungan PAS negeri, kawasan dan dewan.

Turut membentangkn kerts kerja ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin.

Infografik Ucapan Dasar Presiden PAS dibentangkan oleh Nuridah manakala Kertas Kerja Arahan dan Tindakan Ucapan Dasar Presiden PAS dikendalikan oleh Khairil Nizam.

Penganjuran program tersebut bertujuan memberi penjelasan kepada kepimpinan PAS di semua peringkat berkenaan perkara teras yang terkandung di dalam Ucapan Dasar Presiden PAS pada muktamar yang lalu.

Ia perlu diterjemah dalam bentuk pelan tindakan agar seluruh jentera parti di semua peringkat dapat bergerak seiring dengan hala tuju yang ditentukan parti. – HARAKAHDAILY 9/1/2022

- Advertisement -