Hedonisme di Tanah Arab

- Advertisement -

ASAL Usul

Hedonisme adalah satu pemikiran yang lahir dari dunia Yunani. Ia menjurus ke arah mencari kepuasan dan kenikmatan. Jalur perbincangan ini berasal daripada perbahasan berkenaan tujuan manusia dihidupkan. Socrates (469-399 SM) contohnya, menyatakan bahawa manusia dihidupkan untuk mengecapi kebahagiaan. 

Lalu, di kalangan ahli falsafah Yunani berbeza-beza pendapat mengenai erti sebenar kebahagiaan. Ada yang mengatakan kebahagiaan itu dikecapi dengan ilmu pengetahuan. Mereka yang memiliki ilmu, digambarkan sebagai orang yang bahagia.

- Advertisement -

Namun, di sana, ada satu aliran yang berpendapat bahawa kebahagiaan itu dikecapi dengan kepuasan, kenikmatan dan sebagainya. Contohnya, Aristippus of Cyrene (435-356 SM) berteori bahawa keseronokan merupakan satu-satunya perkara yang dicari dalam hidup manusia.

Manakala Epicurus (341-270 SM) yang mengasaskan aliran Epikuranisme menyatakan bahawa keseronokan merupakan peringkat mula dan akhir sesebuah kehidupan yang diingini. Kemuncak kesenangan baginya ialah ketenangan jiwa.

Pada era falsafah moden, pemikiran Hedonisme ini turut dibincangkan. Jeremy Bentham (1748-1832) berpandangan bahawa prinsip Hedonisme mempunyai hubungan dengan fitrah manusia, iaitu dari sudut kesakitan dan kegembiraan. Pandangan ini turut disokong oleh James Stuart Mill.

James Stuart Mill (1806-1873) berpendapat bahawa keseronokan merupakan kebaikan dan kesakitan adalah kejahatan. Justeru, bermula daripada perbincangan mengenai keseronokan, akhirnya mengheret kepada kehancuran budaya. Iaitu apabila keseronokan itu tiada hala tuju, tidak dipandu, dan tidak terkawal.

Gejala dan kerosakan

Hedonis beranggapan bahawa keseronokan itu satu kebaikan. Bermakna, kebaikan di sisi mereka bersifat relatif. Ada yang melihat seks bebas itu adalah perkara yang ‘membahagiakan’ berbanding dengan perkahwinan yang terikat dengan nafkah dan bermacam ragam. Jadi, ada di kalangan mereka menganggap pelacuran itu perbuatan yang baik.

Ada juga yang melihat bahawa minuman keras itu adalah baik kerana ia dianggap jalan keluar kepada kerunsingan dan tekanan. Begitu juga dengan perbuatan-perbuatan terkutuk yang lain. Mereka akan berhujah, ‘Apa salahnya berzina suka sama suka?’ atau ‘Apa salahnya minum arak kalau tak memandu’ dan sebagainya.

Kebaikan yang bersifat relatif ini pastinya disokong oleh golongan Humanis dan Liberalis. Mereka biasanya akan berhujah ‘Mabuk itu hak mereka’, atau ‘Mereka berzina suka sama suka itu adalah hak individu’. Hakikatnya mereka hanya fikir untuk mengejar keseronokan, dan kepuasan sementara.

Mereka tak fikir risiko penyakit HIV? Mereka tak baca data penyakit otak disebabkan ketagihan arak? Sedangkan mereka mengatakan bahawa ‘kesakitan itu adalah satu kejahatan’? Jadi, yang mereka kejar adalah keseronokan yang akan mengundang kesakitan yang mereka benci itu.

Tik Tok

Tik Tok adalah salah satu aplikasi yang lahir dari akar Hedonisme. Terasnya adalah hiburan. Sesiapa sahaja boleh mempamer ‘bakat’ masing-masing menghiburkan orang, sama ada dengan perbuatan-perbuatan yang bodoh, atau joget yang mengghairahkan, ataupun dengan apa sahaja. 

Jaringan Tik Tok dan kandungannya yang mengghairahkan secara tak langsung mengheret kepada masalah sosial. Di situlah nak layan video-video pendek separa porno, yang dikawal selia oleh algorithm yang ‘memaksa’ pelayar aplikasi ini untuk menuruti apa yang dihidangkan oleh Tik Tok.

Kalau cara lama, artis-artis mula jadi popular setelah diangkat dan dipublisitikan oleh producer-producer. Tapi hari ini, sesiapa sahaja boleh jadi artis. Mereka yang tidak punya idea yang bernas, suara pun tak sedap, tapi ada body yang lawa, cukup dengan gelek dalam Tik Tok sahaja sudah mampu untuk mengumpulkan penggila.

Kalau nak sembang dari sudut kebaikan Tik Tok, khinzir pun mungkin ada kebaikannya. Arak pun mungkin ada kebaikannya. Tapi, ukurlah kebaikan itu besar mana nak dibanding dengan risiko dan bahayanya terhadap sosial masyarakat, moral, agama, dan sebagainya. 

Arab Saudi layan konsert

Apa yang boleh dikatakan mengenai Arab Saudi? Sejak era Ben Salman ini sudah mula meresapkan ideologi-ideologi Barat, khususnya Hedonisme itu sendiri. Semua orang tahu mengenai list konsert yang dianjurkan oleh negara itu. Tak perlu untuk dipaparkan lagi di sini.

Cuma, apa yang boleh kita bincangkan ialah dari sudut pemikiran. Saya mengira bahawa apa yang nak dibawa oleh Ben Salman bukan sekadar Hedonisme itu. Tetapi yang lebih besar adalah agenda Sekularisasi dan Liberalisasi. Mari kita hurai kedua-dua tonggak pemikiran yang menyesatkan ini.

a. Sekularisasi.

Sekularisme pada asasnya ialah memisahkan agama daripada politik. Ini kerana, orang Barat beranggapan negara yang diperintah dengan pengaruh agama, akan rosak sepertimana yang dialami oleh mereka di zaman pemerintahan bergereja dahulu (Dark Ages).

Kenapa Sekularisme dibawa masuk ke dalam Arab Saudi? Semua sedia maklum bahawa Arab Saudi dikenali sebagai 2 Tanah Haram (Haramain). Di situlah maqam Nabi S.A.W, di situlah kiblat umat Islam. Lalu, Arab Saudi dibayangi dengan negara yang diperintah dengan pengaruh agama. 

Lalu, untuk menghapuskan bayangan tersebut, agenda Sekularisasi mesti ditanam di sana, agar negara itu tidak lagi dilihat diperintah oleh pengaruh agama. Maka, apabila orang ke Makkah, bukan lagi semata mata umrah dan haji, akan tetapi melancong, makan angin, dan mungkin boleh sampai berbogel di tepi pantai.

b. Liberalisasi.

Liberalisme secara akarnya memperjuangkan kebebasan cara Barat. Tiada sebarang kongkongan. Ini kerana, orang Barat sudah cukup trauma hidup dalam kongkongan gereja pada zaman Dark Ages. Justeru, pemikiran ini dianggap sebagai satu perjuangan untuk menobatkan manusia itu sebagai seorang manusia, bukan hamba abdi.

Kenapa Liberalisme dibawa masuk ke Arab Saudi? Sepertimana yang kita ketahui, di Arab Saudi terdapat pelbagai undang-undang atas nama agama. Antaranya tutup aurat, hukum hudud, dan sebagainya. Undang-undang ini bahkan telah menjadi adat kebiasaan masyarakat di sana. 

Justeru, untuk ‘melanggar’ adat ini, bahkan agama Islam itu sendiri, maka mereka pun mula mewujudkan konsert dan hiburan agar ia menjadi normal (normalisasi). Justeru, pelanggaran adat ini akhirnya masyarakat Arab Saudi akan mula terbiasa dengan ‘free hair’ di situ dan sebagainya.

Lama kelamaan, undang-undang yang menyuruh tutup aurat itu akan dianggap menindas hak asasi wanita. Bukan itu sahaja, hudud yang dilaksanakan di sana juga mungkin akan dipertikai kerana dilabel kejam, ketinggalan, dan sebagainya. Agenda ini tak mungkin berjaya sehari dua, akan tetapi makan masa. Itulah yang mereka sedang lakukan.

Bahaya Hedonisme

Hedonisme sangat sesuai untuk menyuburkan Liberalisme dan Sekularisme. Keseronokan itu dijulang melangkaui batasan agama. Pedoman-pedoman agama menurut mereka tidak menyeronokkan, bahkan membosankan. Lalu, Hedonisme berpeluang memberanakkan generasi ‘tiada agama’, sekalipun memakai nama Islam.

Sempadan-sempadan agama yang menyekat manusia daripada jahanam, dilanggar dengan pemikiran ini atas label keseronokan. Bahkan, sempadan-sempadan itu dilihat menyusahkan, menyekat, mengongkong dan sebagainya. Maka, yang akan lahir juga ialah umat Islam yang berotakkan Barat. Apatah lagi dasar luar Amerika yang konsisten untuk memasarkan Liberalisme. 

Antara bahaya Hedonisme yang paling parah ialah ketirisan ilmu. Sesuatu kebenaran itu bukan lagi ditentukan dengan paksi ilmu atau hujah yang rasional. Akan tetapi kebenaran itu diukur dengan keseronokan yang dikecapi. Contohnya seorang ayah yang menjaga anaknya daripada terjerumus ke neraka, dianggap jahat dan menyekat kebebasan. Manakala ayah yang membiarkan anaknya ber’couple’ dianggap mulia lagi sporting.

Maka, kebaikan dan kejahatan itu boleh bertukar. Ia ditukar dengan nilaian keseronokan. Akibatnya lahirlah masyarakat yang bodoh, yang tidak tahu menilai antara kebenaran dan kebatilan. Kekeliruan inilah yang menjadi tanda di ambang kehancuran dunia. 

Apa tindakan kita?

Kita tidak dituntut pun untuk layan aplikasi-aplikasi yang baru muncul. Asal ada satu aplikasi baru saja, terus cakap ‘kita kena ikut perkembangan semasa’. Nanti belum apa-apa lagi, tiba-tiba ada suara ajak dakwah dalam Metaversepula. Perkembangan semasa sepatutnya perlu diwaspadai. Bukannya perlu dilayan semua.

Justeru, apa yang perlu kita lakukan ialah kita mestilah bersifat ‘tersendiri’. Tidak terkesan dengan perubahan sekeliling. Apabila masyarakat semakin membodohkan diri dengan aplikasi-aplikasi tadi, kita tidak perlulah sama-sama jadi bodoh seperti itu.

Sebaliknya kita perlu terus konsisten memandaikan umat. Bawa mereka keluar dari fantasi mereka itu, kepada dunia realiti yang sedang kita hadapi. Mereka yang jadikan keseronokan itu sebagai kayu ukur sebuah kebaikan, kita tak perlulah ikut sama mengukur seperti itu. Teruskan konsisten kita yang mengukur kebaikan dan kejahatan itu mengikut neraca wahyu.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 8/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100051781123067/posts/427171625685538/

- Advertisement -