SAVE 3.0: Kerajaan tawar e-rebat RM200 alat elektrik

Foto Muhammad Zharif Zulkiflee.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

PUTRAJAYA:
Kerajaan menyediakan program e-rebat sebanyak RM50, RM100, dan RM200 kepada pembelian peralatan elektrik cekap tenaga berlabel empat dan lima bintang yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga bagi tahun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata program itu diperkenalkan bagi menggalakkan lebih ramai pengguna elektrik mengamalkan amalan cekap tenaga, sekali gus menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga dan bil elektrik.

“Bagi peralatan elektrik di bawah Kategori 1, nilai e-rebat yang boleh ditebus untuk pembelian peti sejuk atau penyaman udara ialah RM200.

- Advertisement -

“Di bawah kategori 2 pula, nilai e-rebat yang disediakan adalah RM200 bagi televisyen, RM200 bagi mesin basuh, RM100 bagi ketuhar gelombang mikro dan RM50 bagi periuk nasi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Sustainability Achieve Via Energy Efficiency (SAVE) 3.0, di sini, hari ini.

Menurutnya, pengguna boleh mula memohon dan menggunakan e-rebat bermula hari ini melalui pembelian secara fizikal di kedai elektrik atau pasar raya yang berdaftar di bawah program SAVE.30 dengan membawa bil elektrik terkini.

Katanya, pengguna juga boleh membuat pembelian secara atas talian menerusi platform e-dagang yang diiktiraf seperti Lazada, Shopee, dan PG Mall.

“Hanya warganegara Malaysia yang juga pemilik akaun elektrik tarif domestik berdaftar dengan syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sabah Elektrik Sdn Bhd (SESB), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan NUR Power yang layak membuat permohonan.

“Penerima e-rebat bagi Program SAVE 2.0, tidak layak untuk memohon bagi Kategori 1 Program SAVE 2.0,” katanya.

Selain itu kata Takiyuddin, pelaksanaan Program SAVE.30 dijangka dapat memberi manfaat kepada hampir 140,000 isi rumah di seluruh negara.

Justeru, beliau menyeru agar lebih banyak kedai dan pasar raya bersedia untuk mendaftar sebagai pekedai dan peruncit peralatan elektrik program SAVE 3.0.

Katanya, tindakan itu supaya rangkaian e-rebat bagi Program SAVE 3.0 dapat menjadi lebih luas dan memudahkan pengguna.

Sebarang maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman web www.seda.gov.my/bantuan – HARAKAHDAILY 7/1/2021

- Advertisement -