RM400,000 naik taraf prasarana Pantai Melawi

- Advertisement -

BACHOK: Kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM400,000 bagi menaik taraf kemudahan awam di Pantai Melawi yang semakin menjadi tumpuan ramai sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kemudahan yang disediakan termasuk tempat letak kenderaan, wakaf, bangku rehat, tandas, surau dan laluan pejalan kaki.

- Advertisement -

Katanya kemudahan tersebut disediakan bagi keselesaan pengunjung.

“Alhamdulillah Pantai Melawi semakin comel sekarang yang turut dilengkapi pintu gerbang dan kincir angin sebagai landskap unik pengunjung merakam gambar kenang-kenangan.

“InsyaAllah ia akan ditambah peruntukan ‘paving block’ dan bangku rehat untuk kemudahan pengunjung.

“Sama-sama kita jaga pusat rekreasi keluarga kita. Tong sampah disediakan. Buang sampah ke dalam tong sampah. Jom ubah sikap. Rakyat Bertanggungjawab, Negeri Bersih,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Semalam Dr Izani mengadakan lawatan ke Pantai Melawi bagi meninjau kerja-kerja menaik taraf pusat pelancongan pantai tersebut.

Baru-baru ini Harakahdaily mengetengahkan lokasi pelancongan baru tersebut yang semakin mendapat sambutan orang ramai.

Pantai Melawi juga disediakan denai laut yang dibuat daripada kayu dan batang nibung menghubungkan Pantai Melawi dan Pantai Baru.

Bagaimanapun disebabkan ombak besar baru-baru ini denai tersebut hampir terbalik di bahagian hujung, manakala longgokan kayu hanyut terdampar di pantai.

Keindahan Pantai Melawi juga akan diketengahkan Harakah edisi cetak edisi Isnin ini.

Dr Izani juga berkata, potensi besar pusat reakreasi keluarga di pesisir pantai turut menyumbang kepada sosio ekonomi masyarakat setempat.

“Kerjasama menjaga kebersihan dari semua pihak khusus dari pengunjung amat diharapkan,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 7/1/2022