Petani di Kanthan dipertimbang lokasi pertanian baru

- Advertisement -

IPOH: Kerajaan negeri memberi komitmen bagi menyediakan kawasan gantian yang dilengkapi infrastruktur untuk membolehkan lebih 100 petani meneruskan aktiviti mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, kawasan gentian itu berikutan notis mengosongkan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) di Kanthan dan Tanah Hitam, Chemor.

Katanya, notis tersebut baru-baru ini melibatkan badan lain, di mana pihak pertanian tidak mempunyai bidang kuasa bagi menerus atau membatal tuntutan tersebut.

- Advertisement -

“Kita kena bincang di peringkat negeri, sebab bagi pihak Exco Pertanian kita hendak memastikan sekurang-kurangnya ada penggantian daripada 60 metrik tan yang tidak dapat dikeluarkan di situ.

“Kemungkinan bagi pihak Exco kita boleh bincang tanah ganti dengan PKNP dan boleh dibina infrastruktur untuk menggantikan hasil yang hilang,” katanya selepas sesi dialog bersama petani terlibat di Dewan Orang Ramai, Kuala Kuang, Chemor baru-baru ini.

Program turut dihadiri Pengarah FAMA Perak Noor Sham Ramly, Pegawai Pertanian Daerah Kinta Kampar Wilda Firdaus, Pengerusi Persatuan Taniternak Jalan Chemor Wong Chin Siang, Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Vg Vijaya Thaamarai dan Penyelaras Dun Manjoi Hafez Sabri.

Pada dialog tersebut Pengerusi Persatuan Petani Moden Chemor Tan Tean Chee memaklumkan petani sedia berpindah ke kawasan baharu.

Menurut Nazman pada perkongsian di laman sosialnya, lokasi pertanian di Kanthan dan Tanah Hitam menghasilkan pengeluaran makanan dianggar mencecah sehingga 60 tan metrik sehari.

Sementara itu Ketua Eksekutif PKNPk, Dato’ Redza Rafiq sebelum ini menyatakan kawasan tersebut digazet sebagai kawasan perindustrian, di mana estet perindustrian di sebelahnya mencapai tahap optimum.

Bagaimanapun kata beliau pihaknya menyediakan kawasan gantian untuk meneruskan aktiviti pertanian bagi petani terlibat.

Menurutnya pembukaan kawasan industri yang baru itu dijangka dapat mewujudkan 13,000 peluang pekerjaan baru kepada penduduk tempatan.

“Selain meningkatkan KDNK Perak dan pelbagai peluang perniagaan daripada rantaian pembekalan kepada penduduk setempat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/1/2022