Musuh PAS Terengganu sedang menggelupur

- Advertisement -

MEI nanti, akan genaplah ulang tahun ke-4 Kerajaan Negeri Terengganu. Berbagai isu yang berlegar sepanjang tempoh ini, bertarik-tarikan antara kerajaan dan pembangkang bagi menyerang ataupun menerang. Ada yang fitnah dari pembangkang, dan yang benar dari Kerajaan Negeri. Semua ini adalah warna-warna politik yang dipersembahkan oleh kedua belah pihak.

Pembangkang amat berharap Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, gagal menunaikan hampir kesemua manifesto yang dijanjikan PAS dahulu. Terbeliak mata mereka, melihatkan, rupanya boleh janji-janji pilihan raya ditunaikan. Ia bukan kisah dongengan. Ia adalah satu realiti. Hampir semua manifesto telah ditunai.

- Advertisement -

Dengan masih mengekalkan imej bersih, tanpa salah guna kuasa, PAS menepis semua serangan lawan yang dilihat semakin bertalu-talu. Mungkin terdesak dengan pencapaian PAS, berbagai cara batil yang mereka cipta bagi menjatuhkan PAS. Namun sia-sia kerana kejayaan yang dicapai oleh PAS, bukan sekadar cakap mulut, tetapi dengan angka dan data yang tidak ternafikan.

Terbaharu, kadar pengangguran di Terengganu, semakin menurun 3.5, menghampiri kadar nasional 3.3, setelah enam tahun sehingga 2018, dalam trend menaik (2.9 – 4.8). Di sebalik semua ujian seperti COVID-19 banjir dan berbagai lagi, Kerajaan Negeri berjaya menyediakan peluang pekerjaan untuk diisi oleh rakyat Terengganu yang layak. Duyung Marina Resort pula yang sudah belasan tahun rugi, mencatat keuntungan sejuta lebih. Kerajaan bukan hanya memberikan bantuan-bantuan one-off, tetapi juga peluang-peluang membebaskan diri daripada kemiskinan dengan berbagai skim-skim yang membantu rakyat.

Disebabkan inilah maka musuh PAS, merasakan perlunya membuat serangan demi serangan untuk mengatakan bahawa PAS ini jahat, PAS gagal, PAS begitu dan begini. Semua yang negatif, ditempelkan kepada PAS. Sebaliknya PAS pula terbukti menggunakan dengan betul wang royalti yang dahulu pernah diberikan kepada pihak yang bukan berhak. Mungkin benar strategi jahat mereka dahulu, sekat royalti supaya Kerajaan PAS sesak, senang mereka merampas semula Terengganu. Bila dapat royalti, susahlah musuh PAS, semua ditadbir dengan baik.

Beza pengurusan negeri oleh dua kerajaan ini, dapat dilihat jelas oleh rakyat. Musuh yang masih mencuba untuk merampas kembali kuasa, sebenarnya tidak tahu, apa lagi isu yang mahu dimainkan bagi menjatuhkan PAS. Dek kerana kebingungan itulah maka musuh sanggup mengitar kembali isu kafir mengkafir, Amanat Haji Hadi, Memali dan sebagainya. Ada juga mengungkit semua projek adalah daripada mereka dahulu, hanya disempurnakan oleh PAS. Ini adalah petanda tandusnya isu mereka. Jika ada salah laku, pasti mereka sudah membuat laporan SPRM atau PDRM, mana mungkin dilayan isu lapuk itu. Orang PAS jangan cepat melatah.

Kerajaan Terengganu begitu tenang, menjawab dengan angka. Auta mereka dibalas dengan fakta jelas. Banyak isu yang diberikan musuh PAS ialah isu yang tidak boleh dijangkau dengan angka. Contohnya mahal bayaran, berapa mahal, tidak dijelaskan, padahal naik 10 sen sehari. Orang PAS main projek, tidak dinyata apa salahnya, konon nak timbulkan isu kroni. Orang PAS ambil duit rasuah, mana laporannya? Tiada. Bantuan tidak cukup. Berapa? Mereka diam. Begitulah terdesaknya mereka, guna ayat umum membuat tuduhan dan disambut oleh ‘fake account’.

Musuh PAS tahu, jika kali kedua berturut-turut Terengganu kekal di tangan PAS, mereka akan menghadapi masalah yang amat besar. Ia akan memberikan isyarat bahawa Terengganu bakal kekal lama dalam genggaman PAS, sebagaimana Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Oleh itu, PRU15 ini amat penting setelah peluang untuk muafakat telah dibuang oleh musuh, kerana kepentingan peribadi, bukan rakyat. Apa lagi yang mampu mereka buktikan setelah rakyat melihat jelas perbezaan cara pemerintahan yang membazir dengan berhemah.

Untuk itu, bagaimana sekalipun, PAS mesti dihapuskan. ‘By hook or by crook’ mereka akan mengambil Terengganu. Adakah mereka membuat perbandingan kejayaan mereka memerintah dengan kelemahan PAS mentadbir? Tiada, kerana rakyat akan nampak buruk mereka. Yang ada hanyalah isu-isu fitnah lama yang dikitar semula untuk PAS dilihat sama seperti mereka. Isyarat ini perlu difahami dengan jelas oleh penyokong PAS bagi mempersiapkan diri masing-masing, berada pada posisi yang sepatutnya.

Kita sedang mara untuk kemenangan kali kedua, insya-Allah. Musuh PAS juga sedar, sebab itu mereka menggelupur bagai terkena sawan. Nanti mereka akan jadi seperti Kelantan, sudah tepu untuk melawan kerana integriti PAS amat kukuh. Mereka akhirnya menempel diri untuk muafakat dengan PAS… alhamdulillah.

MOHD NASIR ABDULLAH
7 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 7/1/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -