Haiti: Dua wartawan maut dibakar kumpulan samseng

John Wesley Amady terbunuh ketika membuat liputan mengenai isu keselamatan di Petion Ville, Port-Au-Prince, Haiti pada 6 Januari 2022.
- Advertisement -

PORT-AU-PRINCE: Dua orang wartawan mati dibakar hidup-hidup oleh kumpulan samseng di sini pada Khamis, namun motif dan butiran serangan masih tidak jelas.

Pasukan Keselamatan Haiti berkata, kumpulan samseng Ti Makak bertanggungjawab melakukan pembunuhan tersebut di kawasan kejiranan Petion-Ville, yang menyaksikan seorang wartawan lain yang turut berada di lokasi kejadian berjaya menyelamatkan diri.

- Advertisement -

Saluran media Haiti, Radio Écoute FM mengesahkan bahawa salah seorang wartawannya, John Wesley Amady, terbunuh dalam serangan itu semasa dia dalam tugasan mendokumentasikan kekurangan keselamatan di kawasan itu.

“Amady telah ditembak dan dibakar hidup-hidup oleh penyamun bersenjata. Kami mengutuk dengan sekeras-kerasnya perbuatan jenayah dan biadab ini,” kata kenyataan media tersebut.

Susulan itu, Radio Écoute FM telah menggantung operasinya sehingga diberitahu kelak sebagai tanda solidariti dengan keluarga mangsa.

Serangan itu berlaku dengan latar belakang keganasan yang melampau dan keadaan keselamatan yang merosot di Port-au-Prince, dengan kumpulan samseng yang bertempur antara satu sama lain atau polis untuk mengawal jalan-jalan, menyebabkan puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal di salah satu negara termiskin di benua Amerika itu 

Pada Julai tahun lalu, Presiden Haiti, Jovenel Moise telah dibunuh dalam satu  serangan ke atas kediaman peribadinya, meninggalkan kekosongan kuasa yang memperdalam kegawatan daripada keganasan, krisis kemanusiaan yang semakin meningkat di Haiti dan pandemik Covid-19. – CNN