Djokovic berjaya tangguh pengusiran dari Australia

- Advertisement -

MELBOURNE: Novak Djokovic berjaya mendapatkan penangguhan sementara daripada diusir dari Australia pada Khamis (6 Jan) selepas visanya dibatalkan itu kerana tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara itu.

Pemain tenis nombor satu dunia itu bagaimananapun telah diarahkan untuk bermalam di kemudahan tahanan imigresen Australia ketika dia berjuang untuk kekal di negara itu.

- Advertisement -

Djokovic sebelum ini mendapat pengecualian kesihatan untuk beraksi di Terbuka Australia 2022 walaupun tidak mempunyai bukti sudah divaksinasi sepenuhnya terhadap penularan Covid-19.

Warganegara Serbia itu tiba di  Australia pada Rabu (5 Jan) lalu dengan harapan untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia yang dimenanginya pada tahun lalu dan melakar kejuaraan Grand Slam ke-21 yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Namun selepas disoal siasat di lapangan terbang Tullamarine di sini semalaman, visanya telah dibatalkan sebelum dia dipindahkan ke kemudahan tahanan imigresen Melbourne sementara menunggu pengusiran.

Selepas rayuan mahkamah dalam talian kecemasan, seorang hakim memerintahkan bintang kontroversi itu tidak diusir keluar dari Australia sebelum Isnin (10 Jan), apabila perbicaraan akhir dijadualkan bermula.

Dengan hampir 10 hari sebelum kejohanan yang bakal berlangsung dari 17 hingga 30 Januari ini, masih belum jelas adakah Djokovic akan dapat menyertainya, walaupun dia menang dalam perbicaraan mahkamah berkenaan. – AFP

- Advertisement -