Agenda kebajikan Keluarga Malaysia

- Advertisement -

KEPRIHATINAN Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam membantu masyarakat ketika negara menghadapi bencana banjir membuktikan keseriusannya menjaga kebajikan rakyat. Ini adalah seiring dengan agenda Negara Berkebajikan yang diketengahkan oleh YB Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS.

Sejak hari pertama banjir melanda, pelbagai usaha telah digerakkan oleh PAS dalam membantu rakyat menghadapi tragedi ini menerusi operasi menyelamat, membersihkan rumah, membaik pulih rumah dan kenderaan serta membekalkan makanan dan barangan keperluan harian. 

- Advertisement -

Seluruh jentera telah berjaya digerakkan dan Bilik Operasi Banjir PAS juga dibuka di setiap kawasan yang terjejas dengan penyelarasan di bawah Khidmat Malaysia. Khidmat Malaysia yang merupakan badan penyelaras PAS dalam menangani bencana di dalam negara bukan sahaja membina hubungan dengan badan NGO tetapi juga turut bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan. 

Lebih 6,000 mangsa banjir berjaya diselamatkan oleh Jabatan Amal Malaysia (JAM) dan sehingga kini operasi membersihkan masih terus dijalankan dengan kerjasama Briged Muslimat, PASTI Negeri, Skuad Prihatin, Ameerah dan lain-lain. Operasi kali ini juga disertai oleh para Menteri dan Timbalan Menteri serta ADUN-ADUN PAS dari seluruh negara. Mereka tidak kekok untuk bersama membersihkan kediaman yang terjejas dan berada dalam jemaah tanpa protokol.

Kerajaan Negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan turut tampil memberikan sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak lebih RM500,000 beserta dengan sukarelawan yang dihantar ke negeri terjejas seramai lebih 3,000 orang. Agensi-agensi milik kerajaan di 3 negeri ini juga telah turun ke lapangan menghulurkan bantuan untuk mengurangkan beban. 

Tidak dilupakan usaha dan kerjasama daripada jabatan dan agensi kerajaan yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat terjaga. YAB Perdana Menteri juga telah mengumumkan bantuan di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion.

Selain bantuan tunai dan barangan keperluan harian, bantuan pasca banjir seperti pembaikan serta pembersihan rumah penduduk dan fasiliti awam turut digerakkan bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terjamin.

PAS mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam operasi bencana banjir ini. Semoga semangat permuafakatan dan persamaan antara kita dapat terus dipupuk seterusnya mewujudkan negara berkebajikan yang sejahtera.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR IR. TS. HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 7/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044592812267/posts/465231121639978/

- Advertisement -