Kontroversi Australia batal visa Djokovic

- Advertisement -

MELBOURNE: Juara sembilan kali Terbuka Australia, Novak Djokovic mungkin tidak dapat mempertahankan kejuaraannya pada 2021 selepas visanya untuk memasuki Australia kali ini dibatalkan.

Menteri Kesihatan Australia, Greg Hunt pada Khamis berkata, visa pemain tenis nombor satu dunia itu telah dibatalkan dan terpulang kepada Djokovic sama ada dia ingin membuat rayuan, tetapi jika visa telah dibatalkan seseorang individu perlu meninggalkan negara itu.

- Advertisement -

Penganjur kejohanan tersebut sebelum ini berkata, pemain Serbia itu yang cuba memecahkan rekod bagi kebanyakan gelaran perseorangan grand slam lelaki, telah menerima pengecualian perubatan untuk bermain dalam kejohanan tenis berprestij itu pada 2022.

Pengecualian itu meraih kontroversi ketika Djokovic tiba di  Melbourne pada Rabu apabila dia dilaporkan ditahan di lapangan terbang selepas memohon visa yang tidak membenarkan pengecualian perubatan kerana tidak divaksinasi untuk Covid-19.

Menurut media Australia, The Age dan The Sydney Morning Herald, Pasukan Sempadan Australia (ABF) segera enghubungi kerajaan negeri Victoria negeri selepas mengetahui isu mengenai visa yang dikemukakan oleh pasukan Djokovic ketika dia dalam perjalanan ke negara itu.

ABF mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa visa pemain berusia 34 tahun itu telah dibatalkan kerana gagal memberikan bukti yang sesuai untuk kemasukan ke negara itu.

“ABF akan terus memastikan mereka yang tiba di sempadan kami mematuhi undang-undang dan syarat kemasukan kami,”  kata kenyataan itu.

Sementara, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkata, Djokovic tetap tertakluk kepada peraturan yang sama seperti semua orang.

“Visa Djokovic telah dibatalkan. Peraturan adalah peraturan, terutamanya apabila ia berkaitan dengan sempadan kami (Australia). Tiada siapa yang boleh mengatasi peraturan ini. 

“Dasar sempadan kami yang kukuh telah menjadi kritikal bagi Australia yang mempunyai salah satu kadar kematian terendah di dunia akibat Covid-19, justeru kami terus harus  berwaspada,” tulisnya di Twitter.

Terdahulu, peserta kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 30 Januari ini telah diberitahu bahawa mereka perlu divaksinasi sepenuhnya untuk mengambil bahagian atau mendapat pengecualian perubatan yang diberikan oleh panel pakar bebas.

Djokovic, yang terikat dengan Roger Federer dan Rafael Nadal dalam 20 gelaran perseorangan grand slam bagaimanapun tidak mendedahkan status vaksinasinya secara terbuka. – CNN

- Advertisement -