Apa yang kita nampak, tidak semestinya betul

- Advertisement -

TAKZIAH saya kepada keluarga pemandu lori yang meninggal dunia ketika memandu disebabkan serangan jantung. Kematian kerana masalah jantung adalah yang tertinggi di Malaysia semenjak dahulu. Ia tidak lagi menjadi berita yang menggemparkan kepada majoriti kita. Hanya yang mungkin terkejut dengan kematian seseorang akibat masalah jantung ini mungkin dari kalangan mereka yang terdekat.

Tetapi kematian ini menggemparkan Malaysia kerana beliau difitnah memandu dalam keadaan mabuk yang sekali gus menyebabkan beberapa kenderaan dilanggar beliau. Dengan satu penularan video yang hanya berdurasi kira-kira tiga minit itu, ramai orang lain yang menonton, pada mulanya turut percaya yang beliau mabuk. Tambahan pula agak sensasi dengan cerita-cerita pemandu mabuk mutakhir ini.

- Advertisement -

Rasulullah S.A.W pernah berpesan, cukuplah seorang itu digelar pembohong, dengan dia menyebarkan semua berita yang dia dengari. Agak menggerunkan amaran Rasulullah S.A.W ini. Fitnah pemandu mabuk itu berlegar di merata tempat, sehinggalah datangnya takdir Allah, membersihkan beliau daripada fitnah itu. Sesudah ini, penyebar video pula yang diserang oleh netizen dengan berbagai kecaman. Begitulah tugasan hakiki netizen. Kerjanya membelasah orang sahaja. Dia tidak pernah salah.

Bagi kita yang bersimpati dengan nasib malang yang menimpa pemandu itu, akan tertanya-tanya, kenapa allahyarham difitnah sebegitu rupa. Mungkin kerana Allah mahu menghapuskan dosa beliau dan diuji dengan fitnah yang kotor itu, kemudian disucikan dengan kebenaran yang bersih. Terlintas juga dalam benak ini, adakah penyebar fitnah itu selepas ini akan bertaubat iaitu tidak akan lagi menyebarkan berita sembarangan? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Dengan menganggap kecaman warganet kepada mereka sebagai hukuman, maka berkemungkinan besar, mereka akan belajar suatu yang amat berharga iaitu tidak akan lagi menyebarkan sesuatu yang mereka tidak pasti. Jika sahaja menyebarkan segala yang kita dengar sama ada benar atau salah sudah dikalungkan dengan gelaran pembohong, apatah lagi jika menyebarkan fitnah? Pastinya ia lebih berat.

Manakala warganet pula amat suka dengan sesuatu yang sensasi, tanpa mengira benar atau salah. Jika benar, mereka menambahkan makian kepada tertuduh. Dan jika salah, penyebarnya pula dihamun. Mulut mereka sentiasa mencaci maki, menyumpah seranah, tidak kira sasaran mereka ulamak atau umarak, yang baik atau jahat, asal mereka rasa ia salah, siaplah. Beginilah hakikat kehidupan kita sekarang. Siapa melarang, akan diserang jika berlawanan dengan kehendak netizen yang ramai. Ada juga ‘influencer’ menggunakan ‘followers’ mereka bagi menyerang lawannya, walaupun dia yang salah.

Maka tidaklah hairan jika ada golongan yang terpelajar, ada yang ‘kuat agamanya’ juga terlibat dengan mempercayai cerita-cerita yang asalkan sensasi, kerana ia sedap dijadikan bahan rujukan walaupun kabur kebenarannya. Tidak sedikit dengan hanya mendengar cerita daripada beberapa pihak, mereka segera mempercayainya, padahal, mereka berpeluang bertanyakan kepada tertuduh akan kebenarannya itu. Mereka dengar tidak mengapa, tiada rasa segan walaupun fitnah. Tetapi apabila mahu bertanya kebenaran terasa berat sekali. Pelikkan?

Akhirnya kita tenggelam dalam persekitaran yang mencengkam kita untuk mendengar dan percaya cerita-cerita yang sensasi walaupun tidak dapat dipastikan kesahihannya. Apatah lagi dengan keadaan semakin dekat kita menuju kepada pilihan raya, semakin banyak cerita kejahatan jemaah kita sendiri. Kita, malahan percaya dan sebarkan ke pelosok alam. Sehingga kini, tiada satu pun fitnah itu dibuktikan. Tetapi sebaliknya kita bagaikan tidak berputus asa, sentiasa menanti sinar di hujung terowong agar akan timbul juga ‘kebenaran’ dalam fitnah itu, menanti saat untuk mengungkapkan kata… ‘haa kan aku dah cakap’. Puas hati membuktikannya.

Sedang dalam masa yang sama, bukti kebaikan, pencapaian baik yang pimpinan kita lakukan jelas terhidang di depan mata, kita hanya memandang sepi. Sesepi sang suami yang mati pucuk untuk melayan isterinya. Hilang nafsu kepada kebenaran. Kita tetap bersabar menanti ‘kebenaran’ fitnah itu, tidak ubah seperti sang penjudi, berulang alik ke meja judi, hanya ingin merasakan keuntungan seringgit, sedangkan kerugiannya sudah beribu-ribu. Nanti seronok dicanangkan untung seringgitnya itu bertahun-tahun lamanya.

Mulut mereka semua ini basah dengan zikir, sayangkan Islam, taatkan pimpinan, tetapi kritikan mereka terhadap kesalahan yang fitnah atau tidak pasti itu, amat berapi-api. Namun, menunggu pujian mereka kepada kebaikan yang telah terlaksana…tiada. Rasulullah S.A.W sukakan kebaikan dan menyebarkannya. Kita pula terbalik.

MOHD NASIR ABDULLAH
6 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 6/1/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -