KETIKA banjir besar baru-baru ini di antara rungutan utama orang ramai adalah kerajaan tidak kelihatan turun membantu mangsa-mangsa bencana tersebut. Akibatnya terdapat mereka yang bertanya sama ada kerajaan masih wujud. Kedua-dua kerajaan, kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri telah menerima kecaman dan menjadi sasaran rakyat melepaskan geram.
Mustahil jentera kerajaan tidak turun membantu tetapi oleh kerana skala bencana kali ini adalah terlalu besar mungkin mengakibatkan bantuan tidak menyeluruh. Selain dari itu, banjir yang berlaku adalah secara mengejutkan dan sudah tentu ia mengambil masa untuk gerak kerja menyelamat dan membantu tiba dengan pantas ke begitu banyak kawasan.
Memandangkan kawasan yang terlibat adalah luas, mustahil juga bagi para pemimpin seperti Menteri atau Timbalan Menteri serta wakil-wakil rakyat untuk turun ke semua lokasi dalam tempoh yang segera. Sudah pasti terdapat kawasan yang tertinggal dan jika media membuat liputan di kawasan-kawasan tersebut dan bertemu dengan penduduk maka sudah tentu ada wakil-wakil rakyat yang akan dilabel sebagai tidak turun padang.
Walau bagaimanapun selepas beberapa hari, rakyat telah dihidangkan dengan berita-berita yang menunjukkan para pemimpin turun padang membantu mangsa atau menyampaikan bantuan kepada mereka. Ada yang membersihkan rumah, sekolah atau balai raya dan ada pula yang menghantar bahan makanan asas atau barang keperluan harian. Mungkin ada pula yang sekadar berdiri di dalam hujan sehingga basah kuyup atau bermandi lumpur sekadar untuk menunjukkan solidariti mereka bersama mangsa-mangsa banjir tersebut.
Tetapi adakah kesemua tindakan ini dapat memadamkan publisiti teramat buruk terhadap mereka ketika bencana ini mula-mula melanda? Atau adakah mereka sepatutnya ‘bekerja secara senyap’ dan membiarkan tindakan-tindakan mereka bercakap untuk mereka? Ada pepatah Inggeris berbunyi, ‘Action speaks louder than words’ atau terjemahannya adalah ‘Tindakan lebih lantang dari ucapan’. Atau adakah rakyat sudah muak dan bosan maka tidak akan dapat disogokkan dengan sebarang publisiti setelah pengalaman awal mereka yang buruk itu?
Saya memungut derma dari masa ke semasa dari orang ramai di bawah NGO saya untuk projek-projek seperti Back To School dan Projek Baju Raya. Setiap kali penyampaian saya akan memuatnaik berita tersebut kepada media sosial seperti Facebook dan Instagram. Mungkin ada yang berkata saya menunjuk-nunjuk tetapi saya perlu melakukannya kerana sumbangan yang disampaikan adalah daripada orang ramai. Oleh yang demikian saya perlu memastikan mereka yang memberi sumbangan itu mengetahui bahawa sumbangan mereka itu telah disampaikan kepada sasarannya.
Begitu juga dengan NGO-NGO atau badan-badan sukarela lain yang memungut derma dari orang ramai. Mereka perlu meyakinkan para penyumbang bahawa sumbangan mereka tidak disia-siakan. Ia juga merupakan satu dorongan kepada mereka agar menyampaikan sumbangan yang dipungut secepat mungkin kerana aktiviti mereka akan sentiasa dipantau melalui posting-posting mereka. Ia juga dapat menjamin orang ramai akan terus memberi sumbangan kepada mereka di masa akan datang.
Jika publisiti itu penting untuk NGO dan badan sukarela, publisiti juga penting untuk kerajaan dan pemimpin kerajaan. Ia penting untuk menjawab sebarang tuduhan yang sengaja dilemparkan untuk kepentingan politik. Ia sepatutnya bukan untuk mengagungkan atau mengampu sesiapa tetapi sekadar untuk mengelakkan fitnah. Tidak lebih dari itu. Walau bagaimanapun kita selalu mendengar saranan supaya ‘Jangan over’ atau ‘Jangan lebih-lebih’. Walaupun hanya Allah S.W.T yang tahu siapa yang ikhlas tetapi rakyat yang menyaksikannya akan menilai. Rakyat akan membentuk persepsi mereka sendiri. Kadang-kala niat kita murni tetapi oleh kerana kita terlalu ‘over’ rakyat akan tersalah tafsir tujuan kita malah membenci kita. Mungkin mereka akan bertanya hendak tolong kami atau hendak tolong diri sendiri. Contohnya apabila seorang pemimpin turun dengan begitu ramai jurugambar atau pengiring maka rakyat akan mempersoalkan tujuan turun padang tersebut.
Orang politik suka kepada krisis kerana ketika krisis mereka dapat menyerlahkan kemampuan mereka. Lebih-lebih lagi pula pada zaman di mana masyarakat terlalu dipengaruhi oleh media sosial. Tetapi rakyat telah menjadi mangsa dan memerlukan pembelaan. Mereka tidak sepatutnya dijadikan batu loncatan untuk melonjakkan imej sesiapa atau untuk menyerlahkan kemampuan sesiapa. Matlamat utama adalah untuk membantu rakyat sementara yang lain-lain adalah bonus.
Sebarang pengiktirafan akan datang secara semulajadi. Ia tidak boleh dipaksa dan kadang-kala diterima tanpa dirancang. Rakyat dapat membandingkan mereka yang berhempas-pulas membantu rakyat sehingga mengorbankan nyawa dan mereka yang semata-mata mahu mencari publisiti. Rakyat tidak mahu mendengar ucapan yang berjela-jela, rakyat tidak mahu majlis yang gilang-gemilang, rakyat tidak mahu publisiti yang melampau tetapi mereka hanya mahu dibantu.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 5/1/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/5059396170746006/