Presiden PAS yakin dengan penyatuan ummah

Dr Kamaruzaman Yusoff
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR:
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih lagi yakin dengan usaha yang dilakukan untuk menyatukan ummah di negara ini.

- Advertisement -

Menurut penganalisis politik, Dr Kamaruzaman Yusoff apa yang diusahakan oleh Tuan Guru itu berdasarkan kepada ayat Al-Quran.

“Usaha menyatukan ummah ini adalah program besar, yang diusahakan, inisiatif Tuan Guru Presiden PAS, itu satu perkara yang sangat penting.

“Keduanya, Presiden PAS pada masa ini masih lagi yakin dengan usaha yang dia buat itu kerana usaha yang dibuat itu berdasarkan kepada ayat Al-Quran,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya umat Islam di negara ini hendaklah yakin dengan usaha penyatuan ummah itu tanpa mempunyai niat yang lain.

“Kita sebagai umat Islam yakin bahawa usaha ke arah penyatuan ummah ini bukan kerana kepentingan politik, bukan kerana nak menambah kerusi, bukan kerana nak merebut peluang, dan juga kerana niat lain,” katanya lagi.

Bagi beliau, Presiden PAS yang ikhlas mengambil inisiatif itu melahirkan keyakinan akan berjaya sebelum pilihan raya umum nanti.

“Jadi yang kita nampak ini sangat ikhlas dalam usaha dia, walaupun berlaku sedikit ketegangan antara Umno dan PAS, Umno dan PN. Tetapi nampaknya Tuan Guru masih yakin sebelum pilihan raya ini, program yang besar iaitu penyatuan ummah ini akan berjaya,” ujarnya lagi.

Tambahnya, Tuan Guru juga telah mengalami satu zaman yang sangat pahit apabila sepanjang tempoh 22 bulan berada sewaktu pemerintahan Pakatan Harapan (PH) banyak perkara yang berkaitan dengan Islam, kedudukan Raja Melayu, kepentingan Bumiputra dan kaum lain tidak dipedulikan kerajaan.

Paling malang, ujarnya PH mengatakan manifesto yang digunakan untuk meyakinkan rakyat pada pilihan raya umum dikatakan tidak dapat dilaksanakan dengan pelbagai alasan.

Menurutnya, dengan asas itulah Tuan Guru memulakan usaha untuk mengadakan Mufakat Naional (MN) yang ditandatangani pada 14 September 2019.

“Jadi sekarang ini apabila nampak dari segi itu, maka Tuan Guru dia sangat istiqamah, ditambah lagi dengan keputusan Majlis Syura Ulamak yang terakhir, yang memperteguhkan PN dan MN di atas kesatuan ummah.

“Jadi kalau umat Islam seluruh Malaysia telah mengalami keadaan yang tidak stabil, keadaan yang resah gelisah kerana amalan islam tidak dapat dilaksanakan dengan baik, kedudukan Islam tercabar, kedudukan sultan pun dirobek, maka inilah masanya umat Islam seluruh Malaysia sama-sama mendukung penyatuan ummah yang dibawa Tuan Guru ini, bukan sebagai seorang Presiden sebuah parti politk sahaja tetapi juga sebagai seorang ulama yang disanjung di peringkat antarabangsa,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Muzakarah Majlis Syura Ulamak bersetuju untuk menegaskan kepentingan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

Persetujuan itu dicapai Majlis Syura Ulamak yang bersidang 29 Disember lalu bertajuk ‘Hala Tuju Ta’awun Siyaasi dan Misi Pilihan raya PAS Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)’.

Susulan itu, Tuan Guru Hashim berkata, perundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimumnya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar.

Menurutnya lagi, semangat ta’awun siyasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.

Sehubungan itu, Kamaruzaman menyeru semua pihak di dalam BN, Umno, PN dan Bersatu agar melupakan segala ketegangan perasaaan tidak puas hati.

Ini, ujarnya kerana ia merupakan suatu proses yang diambil untuk mencapai satu matlamat yang satu, iaitu penyatuan ummah dan seterusnya mengembalikan kedaulatan Melayu Islam di Malaysia, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Adapun perkara lain, katanya adalah masalah teknikal termasuk melibatkan pembahagian kerusi.

Menurutnya, soal siapa dapat kerusi lebih merupakan perkara teknikal yang perlu dibincangkan.

Baginya, perkara itu tidak dapat diselesaikan dengan satu pusingan sahaja tetapi hendaklah dilakukan secara berterusan melihat kepada kepentingan untuk mendapat kuasa politik selepas PRU15.

Justeru, beliau berharap kepimpinan Umno di semua peringkat agar memikirkan kepentingan dan prasangkan Islam dan Melayu serta Sabah dan Sarawak yang perlu diutamakan daripada kepentingan tertentu dan peribadi.

“Kita serahkan kepada rakyat, kalau rakyat rasa ini satu usaha yang baik tanpa sebarang kepentingan peribadi, maka rakyat hedaklah memberikan sokongan.

“Kita harap seluruh rakyat Malaysia, Islam dan bukan Islam sama sama mendoa usaha ini dapat menjamin keselamatan, keharmonian dan kestabilan negara kita yang tercinta,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/1/2022

- Advertisement -